Agama
Kuil dan gereja bukan rumah Allah – Jabatan Mufti Pulau Pinang

- Kenyataan bahawa rumah Allah turut merujuk kepada tempat ibadat agama selain Islam seperti gereja atau kuil adalah salah dan sama sekali bertentangan dengan hakikat makna bagi rumah Allah.
- Ini kerana menurut Unit Buhuth, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, tempat ibadat agama lain tidak mempunyai ciri utama bagi nama rumah Allah tersebut.
- Ciri utama bagi rumah Allah adalah tempat yang tidak disembah sesuatu selain Allah SWT dan tidak berlaku penyekutuan terhadap Allah SWT di dalamnya yang secara tidak langsung menjadikan rumah ibadat selain Islam tidak layak mendapat sandaran kemuliaan yang sama.
- “Selain itu, penggunaan Baitullah (rumah Allah) kepada gereja dan kuil boleh dianggap menggunakan kalimah-kalimah suci yang khusus bagi agama Islam,” katanya menerusi satu kenyataan yang diterbitkan di portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
KUALA LUMPUR — Kenyataan bahawa rumah Allah turut merujuk kepada rumah ibadat agama selain Islam seperti gereja atau kuil adalah salah dan sama sekali bertentangan dengan hakikat makna bagi rumah Allah.
Ini kerana menurut Unit Buhuth, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, tempat ibadat agama lain tidak mempunyai ciri utama bagi nama rumah Allah SWT.
Katanya, ciri utama bagi rumah Allah adalah tempat yang tidak disembah sesuatu selain Allah SWT dan tidak berlaku penyekutuan terhadap Allah SWT di dalamnya yang secara tidak langsung menjadikan rumah ibadat selain Islam tidak layak mendapat sandaran kemuliaan yang sama.
Memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Jinn ayat 18 : “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah untuk Allah SWT, maka janganlah kamu menyembah sesuatu pun di dalamnya selain Allah SWT.”

Foto: Antara kenyataan yang diterbitkan di laman portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
“Selain itu, penggunaan Baitullah (rumah Allah) kepada gereja dan kuil boleh dianggap menggunakan kalimah-kalimah suci yang khusus bagi agama Islam.
“Dalam hal ini, terdapat fatwa yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang menyatakan bahawa kalimah-kalimah berkaitan kesucian agama Islam adalah khusus bagi agama dan orang Islam sahaja maka ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam.
“Ia juga menyatakan bahawa orang Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah-kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang besar kepada agama dan orang Islam.
“Oleh itu orang Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan terhadap kalimah-kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub,” katanya menerusi satu kenyataan yang diterbitkan di portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas berkenaan isu menyebut ‘church’ dan ‘temple’ sebagai rumah Allah.

Foto: Antara kenyataan yang diterbitkan di laman portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
Unit Buhuth, Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang berkata secara kesimpulannya menganggap gereja (church) dan kuil (temple) sebagai rumah Allah adalah salah dan bercanggahan dengan hakikat penggunaannya.
Sehubungan itu, katanya rumah Allah adalah dikhususkan kepada masjid atau tempat ibadat bagi agama Islam sahaja.
“Penggunaan yang wajar bagi tempat ibadat agama lain seperti gereja, tokong dan kuil adalah rumah ibadat atau Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
“Hal ini demikian kerana, penggunaan nama tersebut lebih bersifat harmoni dalam konteks masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan kaum serta menghormati agama Islam yang menjadi agama rasmi di Malaysia,” katanya. — The Merdeka Times
