Terkini
GRS akur keputusan YDPA bentuk kerajaan perpaduan
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur dengan sebarang keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.
- Pengerusi, Datuk Hajiji Noor berkata pendirian itu sejajar dengan komitmen gabungan berkenaan memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
- “GRS senada dengan GPS untuk akur kepada apa saja keputusan dan nasihat YDPA wujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” – Datuk Hajiji Noor
- “Untuk pastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.”
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akur dengan sebarang keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.
Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor, berkata pendirian itu sejajar dengan komitmen gabungan berkenaan dalam memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pendirian GRS itu juga senada dengan keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini menyatakan pendirian sama berhubung soal pembentukan kerajaan perpaduan.
“GRS berpendirian bahawa adalah perlu pembentukan kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera.
“Oleh itu, GRS senada dengan GPS untuk akur kepada apa saja keputusan dan nasihat Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mewujudkan kerajaan perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, GRS juga berpendirian bahawa penubuhan kerajaan perpaduan harus inklusif dan membabitkan kerajaan Sabah dan Sarawak yang diberi mandat oleh rakyat.
“Untuk memastikan negara maju ke hadapan, kita mesti mempunyai kestabilan politik demi menjamin pembangunan ekonomi ke arah kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ia berbeza dengan kenyataannya kelmarin, yang menyatakan pendirian GRS untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 dan gabungan PN untuk membentuk kerajaan.
GRS adalah gabungan rasmi parti politik di Sabah yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Pagi tadi, Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan turut menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pembentukan kerajaan perpaduan.
Sumber: Berita Harian