Connect with us

Terkini

Gabungan parti atau kepercayaan ahli Dewan Rakyat tentukan pembentukan kerajaan – Shamrahayu

Di antara gabungan parti ataupun kepercayaan ahli Dewan Rakyat, kedua-dua proses itu akan menentukan pembentukan kerajaan hari ini kerana setakat pagi ini, tiada satu parti atau gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Gabungan parti atau kepercayaan ahli Dewan Rakyat tentukan pembentukan kerajaan - Shamrahayu
Foto: Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
  • Di antara gabungan parti ataupun kepercayaan ahli Dewan Rakyat, kedua-dua proses itu akan menentukan pembentukan kerajaan hari ini kerana setakat pagi ini, tiada satu parti atau gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
  • “Kemungkinan pertama ialah membentuk gabungan parti. Maksudnya Parti Politik lain bergabung dalam bentuk gabungan selepas Pilihan Raya. Penggabungan ini dapat menambah jumlah kerusi kepada parti-parti bergabung.”
  • “Penggabungan ini tidak dihalang undang-undang Anti-Tukar Parti kerana ia melibatkan gabungan parti, bukan individu bertukar parti.”
  • “Kemungkinan kedua ahli Parlimen beri “kepercayaan” kepada seseorang dari parti politik lain. Dalam kemungkinan ini, tidak berlaku gabungan parti, tetapi ahli-ahli Parlimen, tanpa bertukar parti, beri “kepercayaan” kepada seseorang untuk diperkenan YDPA.”
  • Dalam keadaan ini amalan parti politik perlu berubah dengan tidak mengambil tindakan disiplin ke atas ahli Parlimen yang beri kepercayaan kepada seseorang lain dan bukan dari parti sendiri.

 

KUALA LUMPUR – Di antara gabungan parti ataupun kepercayaan ahli Dewan Rakyat, kedua-dua proses itu akan menentukan pembentukan kerajaan hari ini kerana setakat pagi ini, tiada satu parti atau gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata kerajaan perlu dibentuk seawal mungkin kerana negara memerlukan kerajaan bagi menguruskan pentadbiran negara.

Bagaimanapun, melihat situasi hari ini kelihatan agak sukar untuk menentukan siapa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri dan seterusnya menjadi Ketua Kerajaan.

Jelasnya, berikutan tiada parti atau pakatan parti mendapat majoriti mudah, maka perlu ada satu proses yang tidak ditetapkan undang-undang, iaitu penggabungan parti-parti bagi membolehkannya membentuk majoriti mudah.

Katanya, dari segi undang-undang bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri, ia terletak di bawah kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong iaitu perkara itu amat jelas diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) yang memperuntukkan:

“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;….”

“Walaupun begitu kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a) ini perlu dibaca bersama dengan Perkara 43(2)(a).”

“Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri. Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat. Maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum.”

“Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat (judgment) Yang di-Pertuan Agong bahawa seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Dengan kata lain, Baginda Yang di-Pertuan Agong hendaklah berkeyakinan dalam keputusan baginda bahawa seseorang itu mempunyai “kepercayaan” majoriti ahli Dewan Rakyat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Menjelaskan frasa kepercayaan ahli Dewan Rakyat, beliau berkata ia tidak mewajibkan bilangan ‘kerusi’ majoriti sebaliknya ‘kepercayaan’ di mana kebiasaannya syarat “kepercayaan” ini ditetapkan melalui bilangan kerusi. 

“Bilangan kerusi memang memudahkan tugas Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan berkaitan perkenan baginda kepada seseorang ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.”

“Pada peristiwa Februari 2020 dan Ogos 2021 bagi pelantikan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong mengambil pendekatan mendapatkan kenyataan setiap ahli Parlimen secara individu.”

“Maksudnya tiada gabungan parti politik, dan tiada bilangan kerusi. Baginda telah menggunakan pendekatan tepat, iaitu memastikan “kepercayaan” majoriti ahli Dewan Rakyat,” kata beliau.

Pada masa sama, katanya apabila diperhatikan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, terdapat dua kemungkinan yang boleh dilakukan bagi tujuan mendapat “kepercayaan” kepada seseorang untuk namanya disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

Perkara itu juga dikatakan dapat memudahkan Yang di-Pertuan Agong memperkenan pelantikan Perdana Menteri.

Justeru, beliau melihat berkemungkinan akan berlaku pembentukan gabungan parti atau sebaliknya ahli Parlimen memberikan “kepercayaan” mereka kepada seseorang dari parti politik yang lain.

“Kemungkinan pertama ialah membentuk gabungan parti. Maksudnya Parti Politik lain bergabung dalam bentuk gabungan selepas Pilihan Raya. Penggabungan ini dapat menambah jumlah kerusi kepada parti-parti yang bergabung.”

“Penggabungan ini tidak dihalang oleh undang-undang Anti-Tukar Parti kerana ia melibatkan gabungan parti, bukan individu yang bertukar parti.”

“Kemungkinan kedua ialah, ahli Parlimen memberikan “kepercayaan” mereka kepada seseorang dari parti politik yang lain. Dalam kemungkinan ini, tidak berlaku gabungan parti, tetapi ahli-ahli Parlimen, tanpa bertukar parti, memberikan “kepercayaan” kepada seseorang untuk diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Jelasnya, dalam keadaan ini amalan parti politik perlu berubah dengan tidak mengambil tindakan disiplin ke atas ahli Parlimen yang memberikan kepercayaan kepada seseorang lain dan bukan dari parti sendiri. – The Merdeka Times

 

Sumber : Facebook Shamrahayu Aziz

Author