Antarabangsa
FIFA bantu 830 pemain Piala Dunia Qatar dari dihujani kebencian, pembulian dalam talian
FIFA dan kesatuan pemain bola sepak sedunia melancarkan sebuah perkhidmatan bagi membantu melindungi pemain-pemain di Piala Dunia daripada dibuli dalam talian ketika pertandingan.
- FIFA menyatakan 830 orang pemain di Qatar dapat memiliki akses bagi “perkhidmatan pengawasan, laporan serta moderasi” yang bertujuan bagi menyaring tuturan kebencian ditujukan kepada mereka.
- Ia bantu melindungi pemain daripada kesan buruk terhadap kesihatan mental yang diakibatkan oleh hantaran di media sosial.
- FIFA menyatakan kira-kira separuh daripada peserta Piala Dunia dibuli dan didiskriminasi dalam talian, di mana kebanyakannya adalah datang daripada negara mereka sendiri.
DOHA – FIFA dan kesatuan pemain bola sepak sedunia melancarkan sebuah perkhidmatan bagi membantu melindungi pemain-pemain di Piala Dunia daripada dibuli dalam talian ketika pertandingan.
Pada Rabu lalu, FIFA telah menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 830 orang pemain di Qatar yang dapat memiliki akses bagi “perkhidmatan pengawasan, laporan serta moderasi” yang bertujuan bagi menyaring tuturan kebencian yang ditujukan kepada mereka.
FIFA menerusi Presidennya, Gianni Infantino telah berkata bahawa pihak mereka gembira dalam melancarkan perkhidmatan yang dapat membantu melindungi para pemain daripada kesan buruk terhadap kesihatan mental yang diakibatkan oleh hantaran di media sosial. Beliau berkata lagi,
“FIFA komited dalam menyediakan keadaan yang terbaik bagi para pemain supaya mereka dapat beraksi dengan cemerlang.”
Piala Dunia Qatar bakal berlangsung pada Ahad ini, hanya beberapa hari setelah mana Twitter memecat beberapa kontraktor yang bekerja di dalam pasukan yang berfungsi untuk menapis kandungan-kandungan yang dianggap sebagai mempunyai unsur kebencian dan bahaya.
Dalam menyebut perincian mengenai projek tersebut, FIFA sama sekali tidak menyebut berkenaan Twitter.
FIFA turut menyatakan bahawa kira-kira separuh daripada peserta Piala Dunia telah dibuli dan didiskriminasi secara dalam talian, di mana kebanyakannya adalah datang daripada negara mereka sendiri.
Sumber : Samudera.my