Antarabangsa
Wartawan Filipina ditembak mati, petugas media tempatan tuntut perlindungan
Kumpulan media dan aktivis di Filipina menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa selepas seorang wartawan negara itu ditembak mati ketika sedang memandu di ibu kota Manila.

- Wartawan radio, Percy Lapid, 63, ditembak mati oleh dua penyerang ketika sedang memandu.
- Merupakan kejadian pembunuhan wartawan kedua dalam tempoh sebulan, selepas pembunuhan wartawan radio Rey Blanco yang mati ditikam.
- Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina mahu para petugas media diberi perlindungan yang sepatutnya.
- Polis tempatan tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini berkait rapat dengan hasil kerja mangsa sebagai petugas media.
- Ramai pihak mendakwa pembunuhan ini bertujuan untuk menutup mulut mangsa yang lantang menyuarakan kebenaran.
Kumpulan media dan aktivis di Filipina menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa selepas seorang wartawan negara itu ditembak mati ketika sedang memandu di ibu kota Manila.
Kejadian itu dianggap sebagai satu tamparan kepada kebebasan akhbar di negara itu.
Percival Mabasa, 63, ditembak mati oleh dua penyerang di luar pintu pagar sebuah kompleks kediaman dekat Las Pinas, Manila pada malam Isnin, kata pihak polis tempatan.
Pembunuhan wartawan radio yang lebih dikenali dengan nama Percy Lapid itu merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan, dimana sebelum ini seorang lagi wartawan radio, Rey Blanco dilaporkan mati ditikam dalam satu pertengkaran di pusat bandar Filipina.
Sehubungan itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Filipina menuntut perlindungan untuk para petugas media dan berpendapat kejadian yang berlaku membuktikan betapa beraninya pelaku serta betapa gagal pihak berkuasa dalam melindungi wartawan dan orang ramai daripada bahaya.
Dalam pada itu, Datuk Bandar Las Pinas, Imelda Aguilar berkata bahawa pembunuhan seorang wartawan adalah serangan langsung terhadap kebebasan akhbar dan menyekat hak orang ramai untuk bebas bersuara selain memperjuangkan kebenaran.
Pengurus aktivisme dan mobilisasi Amnesty International Philippines, Wilnor Papa pula berkata, “pembunuhan pengulas radio Percy Lapid secara tragis membuktikan sekali lagi bahawa Filipina kekal sebagai salah satu negara paling berbahaya di Asia Tenggara dan global kerana kegagalannya melindungi wartawan serta mempertahankan hak asasi manusia dan kebebasan media”.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Karapatan, Percy memang terkenal dengan kelantangannya menyuarakan kebenaran di negara tersebut. Oleh itu, mereka mendesak agar siasatan dapat dijalankan dengan telus. Pentadbiran di bawah Presiden Marcos Jr juga harus komited untuk melindungi petugas media dan menjaga kebebasan akhbar, dengan memastikan tiada lagi pembunuhan atau bentuk keganasan lain terhadap wartawan di Filipina.
Pihak polis Filipina kini giat menjalankan siasatan agar keadilan dapat dicapai segera. Dalam satu kenyataan ketua polis tempatan, Jaime Santos, pihak polis tidak menolak kemungkinan yang kejadian tersebut berkait rapat dengan hasil kerja mangsa sebagai petugas media.
Dalam laporan badan pemantau antarabangsa, Reporters Without Borders, sekurang-kurangnya 187 wartawan telah terbunuh dalam tempoh 35 tahun lalu di Filipina, termasuk 32 yang terbunuh dalam satu kejadian pada 2009.
Reference: Independent UK
