Antarabangsa
[VIDEO] Sekumpulan Hindu ceroboh madrasah Islam dan lakukan pemujaan
Polis Karnataka mendakwa sembilan orang Hindu kerana disyaki menceroboh sebuah madrasah yang berusia 550 tahun di daerah Bidar, Karnataka, India pada Khamis, semalam.
![[VIDEO] Sekumpulan Hindu ceroboh madrasah Islam dan lakukan pemujaan](https://cdn.themerdekatimes.com/wp-content/uploads/2022/10/video-sekumpulan-hindu-ceroboh-madrasah-islam-dan-lakukan-pemujaan.jpg)
INDIA – Polis Karnataka mendakwa sembilan orang Hindu kerana disyaki menceroboh sebuah madrasah yang berusia 550 tahun di daerah Bidar, Karnataka, India pada Khamis, semalam.
Madrasah Mahmud Gawan adalah sebuah institusi Islam yang telah lama bertapak dan tersenarai sebagai monumen penting negara India menurut Kajian Arkeologi India (ASI).
Superintenden Polis (SP) Mahesh Meghannavar berkata sembilan orang itu telah didakwa kerana menceroboh struktur warisan ASI berdasarkan aduan yang dibuat seorang pengadu, Syed Mubhashir Ali di balai polis.
“Kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi. Mereka bertindak memecahkan kunci madrasah, menyimbah ‘Vermilion’ (serbuk merah) dan juga menunaikan ibadat mereka sendiri.,” kata seorang ketua masyarakat tempatan kepada Hindustan Times.
Hantaran video yang dirakam melalui telefon bimbit saksi kejadian, menunjukkan insiden sekumpulan lelaki menjerit dan melaungkan slogan Jai Shree Ram (Kemenangan untuk Dewa Rama) serta bertindak berdiri di tangga madrasah, sebelum bergerak ke satu sudut bagi membuat pemujaan.
Sumber: Hindustan Times
