Antarabangsa
Rejim Assad rampas dan jual tanah pelarian Syria
Jutaan pelarian yang melarikan diri dari kekejaman tentera Syria dan serangan tentera Rusia terkejut selepas mendapati ladang dan tanah milik mereka akan dijual pihak rejim.
- Rejim Presiden Bashar Assad merampas tanah rakyat, yang melarikan diri untuk mencari perlindungan di utara Syria, untuk dilelong.
- Kebanyakan tanah merupakan tanah ladang pusaka yang diwarisi rakyat Syria sejak bergenerasi.
- Sekurang-kurangnya 440 kilometer persegi tanah pertanian telah dirampas, demikian menurut Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria.
- Peguam menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengisytiharkan semua resolusi pemilikan rejim berkenaan sebagai tidak sah.
Jutaan pelarian yang melarikan diri dari kekejaman tentera Syria dan serangan tentera Rusia terkejut selepas mendapati ladang dan tanah milik mereka akan dijual pihak rejim.
Seorang petani Syria, Maysara Rahmon yang mewarisi tanah pusaka keluarganya sejak beberapa generasi lalu berkata berita itu amat mengejutkannya.
“Kami menghasilkan bertan-tan tanaman pelbagai jenis setiap tahun, apatah lagi sumbangan ekonomi yang kami berikan kepada kawasan itu melalui pekerjaan dan perdagangan. Tapi kini (Bashar) Assad (Presiden Syria) menawarkan tanah kami kepada militianya” katanya kepada TRT World dalam liputan video di Youtube.
Maysara berkata kehilangan tanah adalah sama kejam seperti kehilangan nyawa.
Katanya, rampasan harta yang menyalahi undang-undang ini menyebabkan ribuan orang yang kehilangan tempat tinggal tertanya-tanya apa yang akan berlaku kepada rumah mereka.
“Orang ramai takut kerana rejim telah merampas tanah dan mengeluarkan sebut harga kepada orang lain untuk pelaburan.
“Satu-satunya hasrat saya ialah untuk kembali ke tanah kita kerana di situlah asal kami,” kata warga Syria itu.
Kumpulan hak asasi manusia melaporkan rejim Assad mengadakan lelongan untuk merampas dan menjual tanah subur milik mereka yang mencari perlindungan di utara Syria.
Menurut Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria pula, sekurang-kurangnya 440 kilometer persegi tanah pertanian telah dirampas rejim.
Susulan itu, peguam menyeru tindakan diambil bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang akan menjadi suatu malapetaka.
Peguam, Abdulrazzaq Ismail berkata,“rejim menganggap semua orang di luar kawasan kawalannya sebagai pengganas dan cuba mengambil alih harta mereka.
“Kami menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengisytiharkan semua resolusi pemilikan yang dikeluarkan rejim berkenaan sebagai tidak sah dan menentang sebarang peralihan demografi dan geografi yang sedang berlaku,” katanya.
Sejak lebih sedekad lalu, rejim Assad menggunakan pelbagai kaedah untuk membuat rakyat Syria tunduk dan kini ia cuba mencerobohi tanah dan harta pelarian dalaman negara (IDP).
Tetapi ketakutan di utara Syria adalah mungkin akan ada lagi pencerobohan atau rampasan lain yang akan datang.
Sumber: Youtube TRT World