Antarabangsa
Polis roboh rumah tiga lelaki Muslim kerana dituduh baling batu
Polis Madhya Pradesh bertindak merobohkan rumah tiga lelaki Muslim yang terlibat dalam pertikaian membabitkan dua kumpulan ketika acara Garba berlangsung di daerah Mandsaur, India.

- Polis Madhya Pradesh merobohkan rumah tiga lelaki Muslim ketika acara Garba berlangsung di daerah Mandsaur, India.
- Sembilan belas orang didakwa terlibat dalam pergaduhan yang berlaku pada 2 Oktober malam di Kampung Surjani, India.
- Pertikaian didakwa berlaku ketika seorang lelaki bernama Salman dan sekutunya bertindak membaling batu di acara itu sehingga mencederakan seorang wanita.
- Media melaporkan perkara itu dengan menyalahkan lelaki Muslim, tetapi tidak menjelaskan punca pertikaian.
NEW DELHI – Polis Madhya Pradesh bertindak merobohkan rumah tiga lelaki Muslim yang terlibat dalam pertikaian membabitkan dua kumpulan ketika acara Garba berlangsung di daerah Mandsaur, India.
Sembilan belas orang didakwa terlibat dalam pergaduhan itu yang berlaku pada 2 Oktober malam di Kampung Surjani, yang mana kawasan itu berada di bawah bidang kuasa Polis Sitamau.
Menurut laporan Dainik Bhaskar, seorang lelaki bernama Shivlal Patidar mengadu kepada Salman Khan berkenaan kelakuan menunggang motosikal.
Pertikaian tercetus antara kedua-dua pihak pada malam Ahad 2 Oktober, ketika Salman tiba di acara Garba dengan sekutunya bagi mencari lelaki itu.
Pergaduhan berlaku, yang mana Salman bertindak memukul rakan Shivlal bernama Mahesh, dengan menggunakan kapak, menurut laporan akhbar itu.
Dalam keadaan itu, ketika ramai orang berkumpul, Salman dan sekutunya bertindak membaling batu di acara Garba itu sehingga mencederakan seorang wanita, demikian menurut laporan itu.
Agensi berita PTI melaporkan empat orang tercedera, manakala Hindustan Times melaporkan Mahesh dan Shivlal sedang menerima rawatan dan berada dalam keadaan serius.
Beberapa media lain melaporkan kejadian awal membabitkan kes baling batu adalah daripada Muslim, namun tidak menyebut berkenaan punca pertikaian ganas itu.
“Selepas menerima maklumat mengenai insiden melempar batu ketika acara Garba, susulan pertelingkahan antara dua kumpulan, polis sampai ke tempat kejadian dan mengawal keadaan,” kata Superintendan Polis, Anurag Sujania.
Superintendan polis itu berkata, “pembinaan haram” seluas lebih 4,500 kaki persegi milik tiga daripada tertuduh, dirobohkan pada Selasa dengan bantuan jabatan hasil.
Sumber: The Wire
