Terkini
Pengampunan Diraja Anwar Ibrahim, tidak menepati perlembagaan? PM waktu itu ada jawapannya – Pakar Perlembagaan
“Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”

- “Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”
- Sekalipun keputusan pengampunan telah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan kerana dilaksanakan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan ia termasuk kuasa YDPA selaku ketua negara, namun beliau tidak dapat menafikan bahawa wujud persoalan adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak.
- “Dalam Perkara 42 wujud satu persoalan jelas adakah ia benar-benar tepati perlembagaan kerana peruntukan menyebut Lembaga Pengampunan perlu dianggotai peguam negara dan juga menteri besar atau ketua menteri sekiranya diperingkat negeri manakala diperingkat wilayah perlu dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan.
- Mungkin keanggotaan menteri boleh dilihat atau diganti dengan perdana menteri tetapi keanggotan peguam negara itu sukar diganti kerana ia satu kedudukan khusus dilantik YDPA.
- Ia tidak boleh diganti melainkan peguam negara serah atau turunkan kuasanya kepada individu lain. Apabila tiada peguam negara saat Lembaga Pengampunan bersidang maka ia timbulkan persoalan besar dari sudut proses dilalui itu.
- Walaupun kuasa Agong tidak boleh dipertikaikan tetapi situasi ini satu pengajaran kepada pemerintah khususnya badan eksekutif agar tidak lagi berulang kerana kuasa pengampunan satu kuasa penting dan sepatutnya hanya digunakan dalam situasi sangat terhad dan berdasarkan kepada asas yang kukuh.
KUALA LUMPUR – “Wujud persoalan-persoalan yang belum terjawab berkaitan Lembaga Pengampunan sewaktu keputusan Pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat. Mungkin PM pada waktu itu ada jawapannya.”
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata demikian ketika mengulas berkenaan dakwaan bahawa berlaku pelanggaran Perlembagaan Persekutuan dalam Pengampunan Diraja yang diberikan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018.
Menurutnya, sekalipun pengampunan tersebut satu keputusan yang telah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan kerananya dilaksanakan berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan ia termasuk kuasa Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara, namun beliau tidak dapat menafikan bahawa wujud persoalan adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak.
Katanya, adalah wajar untuk kita melihat sejauh mana pelaksanaan pengampunan tersebut dibuat mengikut lunas perlembagaan, ini berikutan kuasa perlembagaan telah menetapkan bahawa kaedah pengampunan perlu melalui Lembaga Pengampunan sama ada di peringkat negeri ataupun Wilayah Persekutuan sekalipun kuasa mengampun itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Jelas beliau, “Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim Lembaga Pengampunan tersebut adalah diperingkat Wilayah Persekutuan bermakna dia termasuk dalam kuasa perdana menteri dan sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan dalam Perkara 42(4) yang menetapkan bahawa Lembaga Pengampunan perlu dianggotai oleh peguam negara.
Persoalan yang timbul adalah dari sudut, kedudukan peguam negara pada saat pengampunan itu dilaksanakan. Kerana kita tahu tidak lama selepas Pilihan Raya Umum peguam negara yang sebelumnya iaitu Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah ditamatkan tugasnya dan pelantikan peguam negara baru dibuat agak lambat iaitu Tan Sri Tommy Thomas dilantik dalam beberapa tempoh selepas pengampunan itu diputuskan.
Jadi disini berlaku satu persoalan yang besar adakah proses pengampunan itu benar-benar menepati kehendak perlembagaan atau tidak?”
Katanya, proses pengampunan tertakluk kepada kuasa Yang di-Pertuan Agong dibawah kuasa Perkara 42 dan ianya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah bahkan terdapat seorang individu telah mengemukakan kes bagi mempersoalkan kesahihan proses pengampunan itu dan kes itu dibicarakan di beberapa peringkat mahkamah.
Bagaimanapun, kes tersebut telah ditolak berdasarkan faktor teknikal dan tidak pernah dibincangkan sama ada proses pengampunan itu benar-benar mengikut lunas perlembagaan atau tidak ekoran peguam tersebut telah diputuskan tidak mempunyai kelayakan untuk mempertikaikan kes ataupun pengampunan berkenaan.
“Tetapi jika dilihat dari sudut peruntukkan dalam Perkara 42 wujud satu persoalan yang jelas adakah ia benar-benar menepati perlembagaan kerana di dalam peruntukkan berkenaan menyebut bahawa lembaga pengampunan perlu dianggotai oleh peguam negara dan juga menteri besar atau ketua menteri sekiranya diperingkat negeri manakala diperingkat wilayah perlu dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan.
Mungkin keanggotaan menteri itu boleh dilihat atau diganti dengan perdana menteri sendiri tetapi keanggotan peguam negara itu sukar diganti oleh orang lain kerana ia satu kedudukan khusus, peguam negara adalah satu jawatan khusus yang dilantik oleh YDPA.
Dan pada dasarnya ia tidak boleh diganti melainkan peguam negara itu sendiri yang menyerahkan atau menurunkan kuasanya kepada individu lain.
Jadi apabila tidak ada peguam negara pada saat Lembaga Pengampunan itu bersidang maka ia timbulkan persoalan besar dari sudut proses dilalui itu,” katanya kepada The Merdeka Times, pada Khamis.
Tambahnya, walaupun kuasa Agong tidak boleh dipertikaikan tetapi situasi ini merupakan satu pengajaran kepada pemerintah khususnya badan eksekutif agar ia tidak lagi berulang kerana kuasa pengampunan adalah satu kuasa yang penting dan sepatutnya hanya digunakan dalam situasi sangat terhad dan berdasarkan kepada asas yang kukuh.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa kuasa pengampunan ini diperkenalkan oleh British dan berasal daripada konsep ‘Royal Prerogative of Mercy’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617.
Sementara, dalam sistem perundangan Islam pemerintah pada dasarnya tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kuasa pengampunan kerana ia adalah kuasa Allah SWT dan tidak ada sesiapa layak mengampun dosa sesiapa.
Bagaimanapun, berikutan dalam tempoh penguasaan British dalam sistem keadilan negara maka konsep ini diperkenalkan dan diberi kepada Raja-Raja Melayu.
Beliau berkata, “Dalam hal ini walaupun kuasa tersebut tidak boleh dipersoalkan tetapi sepatutnya ia dilaksanakan dengan begitu teliti, adil dan tidak berpihak.
“Ia juga tidak boleh dilaksanakan secara gopoh dan perlu melalui proses ditentukan undang-undang dan perlembagaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persoalan seperti kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim .”
Justeru beliau mengingatkan agar kes sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan sepatutnya kuasa pengampunan dilaksanakan secara tulus dan kerajaan yang mentadbir bertanggungjawab menjalankan peranannya bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menjalankan kuasanya sesuai seperti diperuntukkan perlembagaan. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login