Connect with us

Terkini

Ibu bapa tidak kisah akademik, anak Orang Asli di Semenanjung keciciran pendidikan

Lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung dikesan tercicir daripada sistem pendidikan, antara lain disebabkan petempatan jauh dari sekolah dan ibu bapa tidak mengambil berat akademik anak-anak.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ibu bapa tidak kisah akademik, anak Orang Asli di Semenanjung keciciran pendidikan
Foto: Sumber The Sun Daily.
  • Lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung dikesan tercicir daripada sistem pendidikan.
  • Antara sebab lain adalah petempatan jauh dari sekolah dan ibu bapa tidak mengambil berat akademik anak-anak.
  • Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata dalam aspek kesihatan, kerajaan pertimbang bagi memperbanyakkan pusat rawatan berpusat di beberapa petempatan Orang Asli bagi mengatasi isu kos.

CYBERJAYA: Lebih 10 peratus anak Orang Asli di seluruh Semenanjung dikesan tercicir daripada sistem pendidikan, antara lain disebabkan petempatan jauh dari sekolah dan ibu bapa tidak mengambil berat akademik anak-anak.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata punca lain menyebabkan keciciran itu adalah akses perjalanan serta sekolah tidak mempunyai kemudahan asrama.

Katanya, isu pendidikan antara tiga kertas dibentangkan pada Mesyuarat Perundingan Orang Asli (MPOA) yang diadakan hari ini, selain aspek kesihatan dan pewartaan tanah masyarakat Orang Asli.

“Dalam aspek kesihatan, antara perkara yang dibangkitkan adalah menyarankan kerajaan pertimbang memperbanyakkan pusat rawatan berpusat di beberapa petempatan Orang Asli bagi mengatasi isu kos.

“Faktor kos perjalanan untuk mendapatkan rawatan di hospital terdekat antara perkara utama dibangkitkan, selain meminta perjawatan di Kementerian Kesihatan (KKM) seperti penolong pegawai perubatan disandang Orang Asli di kawasan lain dikembalikan ke kampung mereka.

“Kementerian akan mengadakan sesi libat urus bersama KKM dan Kementerian Pendidikan (KPM) serta kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perundingan Orang Asli (MPOA), di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Ahmad Yakob dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

Bagi isu pewartaan tanah yang dibangkitkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), beliau memaklumkan, sebanyak 40,600 hektar tanah melibatkan 215 kampung masyarakat berkenaan sudah diwartakan setakat Disember 2021.

“Pewartaan itu dibuat melalui Akta Orang Asli 1954 membabitkan petempatan kediaman, ladang dan dusun buah-buahan, manakala 638 kampung lagi masih dalam proses pewartaan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Di Semenanjung, terdapat 853 kampung Orang Asli dengan petempatan paling banyak adalah di Pahang, Kelantan dan Perak.

Mahdzir berkata, segala input yang diterima daripada MPOA akan dibincangkan di peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet.

Sementara itu, beliau berkata, MPOA adalah penjenamaan baharu Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKPMO) yang ditubuhkan pada penghujung Julai 2021 berdasarkan Mesyuarat Jemaah Menteri.

“MPKPMO telah dijenamakan semula pada November 2020 kepada MaPOA dengan menambah penyertaan wakil dari 18 suku kaum Orang Asli sebagai ahli jemputan mesyuarat,” katanya.

Sumber: Bernama

 

Author