Connect with us

Terkini

Diyat perlu kajian komprehensif, salah laksana risiko burukkan Islam – Pakar Perlembagaan

Pelaksanaan diyat dapat diaplikasikan dalam perundangan negara sekaligus mendatangkan keadilan sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa aspek seperti cara pembuktian kes, pengiraan diyat dan perincian kes sesuai dengan diyat.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Diyat perlu kajian komprehensif, salah laksana risiko burukkan Islam - Pakar Perlembagaan
Foto: Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
  • Diyat dapat diaplikasikan dalam perundangan negara dan bawa keadilan sekiranya pelaksanaanya mengambil kira aspek seperti cara pembuktian kes, pengiraan diyat dan perincian kes sesuai dengan diyat.
  • Aspek lain adalah bagaimana ingin memastikan diyat dapat diguna pakai oleh kesemua golongan miskin ataupun kaya, serta tidak kira agama dan bangsa.
  • Untuk melaksanakan sesuatu undang-undang mengandungi label agama Islam ia perlu dibuat secara berhati-hati dan dilaksanakan secara komprehensif jika tidak mahu agama Islam terpalit dengan kesan buruknya.
  • Beliau tidak nafikan diyat perlu dilaksanakan cepat namun bukan tergesa-gesa kerana khuatir kita terlupa berwaspada cabaran-cabaran sedang dihadapi Islam seperti Islamofobia.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan diyat dapat diaplikasikan dalam perundangan negara sekaligus mendatangkan keadilan sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan dengan mengambil kira beberapa aspek seperti cara pembuktian kes, pengiraan diyat dan perincian kes sesuai dengan diyat.

Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata demikian ketika mengulas berkenaan cadangan Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menuntut diyat dilaksanakan dalam perundangan di Malaysia.

Cadangan tersebut turut mendapat saranan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengharapkan hukuman diyat iaitu mengenakan pampasan kepada keluarga mangsa terkesan dengan tindakan penjenayah dapat dikaji dan dilaksanakan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Prof Shamrahayu berkata untuk melaksanakan sesuatu undang-undang terutama melibatkan hukuman yang mengandungi label agama Islam ia perlu dibuat secara berhati-hati dan dilaksanakan secara komprehensif.

Ini berikutan, jika terdapat sebarang kekurangan daripada  kefahaman, silap amal atau salah laksana hukuman akan menyebabkan agama Islam terpalit dengan kesan buruknya.

Tambahnya, menerusi pemerhatian beliau ketika ini terdapat pasukan penyelidikan yang sedang membuat kajian berkenaan diyat dan beliau mengharapkan kajian tersebut dapat dibentangkan sewajarnya sekaligus prinsip-prinsip hukum syarak dapat disesuaikan dengan amalan perundangan di negara kita.

Malah, beliau juga bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang tersebut dan berkata bahawa pihak kerajaan mahupun pihak penyelidikan perlu meneliti beberapa perkara secara lebih terperinci terkait diyat sekiranya ingin ia dilaksanakan.

“Secara peribadi saya bersetuju ia dilaksanakan cuma ia bukan sesuatu yang mudah untuk kita sesuaikan dengan keadaan semasa.

Sepanjang pengetahuan saya, hal ini sekarang sedang diteroka golongan penyelidik di institusi kefahaman Islam jadi ini bukan soal tidak mahu pelaksanaan tapi dia sedang buat penyelidikan secara menyeluruh. Yang pertama dari segi ganti rugi perlu menggunakan sifir yang sewajarnya bagi memastikan keadilan itu berlaku.

Keduanya perincian tentang kes-kes melibatkan atau boleh digantikan dengan diyat. Contoh sebagai kes menyebabkan kematian dengan niat, ia berbeza dengan kes bunuh tanpa niat. Pelbagai dimensi perlu dikaji tentang kes-kes yang boleh disesuaikan dengan diyat tersebut,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menafikan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengatakan terdapat kekurangan berkenaan konsep diyat di mana ia hanya mampu dilunaskan golongan berada sahaja dan ia tidak akan membantu semua golongan masyarakat.

Prof Shamrahayu berkata kenyataan tersebut antara kebimbangan ataupun aspek-aspek yang sedang dikaji bagi membolehkan semua orang mendapat manfaat ataupun merasai keadilan dalam diyat.

Katanya, “Kalau kita tengok dari hukum syarak sebenarnya kalau dia tak mampu mungkin keluarga boleh membantu tapi kalau keluarga dia juga tidak mampu, kita kembali kepada realiti masyarakat kita di mana terdapat hubungan kekeluargaan tidak begitu rapat jadi tak kanlah kita nak menerima secara bulat-bulat hukum fikah yang boleh berubah ikut masa?

Jadi kajian ini juga melingkari aspek-aspek bagaimana nak membantu mereka yang tidak mampu membayar diyat itu. Apakah peranan kerajaan, peranan keluarga, masyarakat ini adalah perkara yang perlu dikeluarkan dalam hasil kajian tersebut.

Sekarang ini kita senang untuk bercakap boleh buat itu dan ini tapi kita nak melaksanakannya dalam bentuk yang komprehensif kerana apabila nak bawa label hukum Islam ini dia perlu dibuat secara berhati-hati sebab bila silap faham silap amal dan laksana buruknya nanti agama islam itu sendiri.

Jadi pihak cendekiawan yang berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah ini kita tidak boleh bercakap semata-mata atas perkara itu telah ditetapkan oleh hukum-hukum fikah sebelum ini. Kita kena kembali ke realiti masyarakat,” katanya pada Isnin.

Pada masa sama, antara perkara lain yang perlu diberi perhatian menurutnya adalah bagaimana perundangan tersebut dapat diguna pakai bagi kesemua golongan tanpa mengira agama.

Jelasnya,Undang-undang ini kalau kita nak buat kena dibahaskan dalam Parlimen. Jadi kalau kita menggunakan label Islam mungkin ada reaksi tidak selesa dalam kalangan bukan penganut agama Islam. We are imposing islamic law on them sedangkan apa yang kita nak cari keadilan itu.

Bila konsep perundangan Islam jatuh dibawah konsep undang-undang awam maka ia bukan hanya diguna pakai kepada orang Islam. Berkemungkinan ada orang mengatakan mungkin elok kita terima untuk orang Islam dahulu kalau orang bukan Islam menolak.

Tapi sebagai sebuah negara kita tak ada double standard dari segi undang-undang itu, dari segi kedaulatan undang-undang prinsipnya adalah satu undang-undang terpakai kepada semua orang sepatutnya. 

Ini adalah perkara yang kita harapkan dapat diselesaikan sama ada oleh pihak pemain demokrasi pemain politik ataupun cendekiawan yang berkaitan dengan perundangan Islam.”

Justeru, beliau tidak menafikan diyat perlu dilaksanakan dengan cepat namun bukan dalam keadaan tergesa-gesa kerana khuatir kita akan terlupa untuk berwaspada dengan  cabaran-cabaran yang sedang dihadapi oleh Islam. 

Jelasnya, “Konsep Islamofobia itu juga kita perlu ambil perhatian supaya undang-undang yang digubal dapat memenuhi tuntutan keadilan rakyat secara sepenuhnya bagi pengguna undang-undang itu tak kira agama atau bangsa mereka.”

Author