Terkini
“Usah ajar Agong. Kita bukan raja,” – Zaid Ibrahim selar Tommy Thomas
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, menyelar tindakan bekas peguam negara Tommy Thomas susulan kenyataanya mengenai kuasa pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan Persektuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

- Datuk Zaid Ibrahim mengecam tindakan bekas peguam negara Tommy Thomas susulan kenyataanya mengenai kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
- Zaid menjelaskan isu pengampunan adalah universal berdasarkan “hak prerogatif belas kasihan yang tinggi.”
- Ia tertakluk kepada rasa pandangan peribadi Yang di-Pertuan Agong.
- Baginda perlu mengkaji semua aspek keadilan sebelum membuat keputusan.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Zaid Ibrahim, menyelar tindakan bekas peguam negara Tommy Thomas susulan kenyataanya mengenai kuasa pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan Persektuan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Beliau berkata isu pengampunan telah dimanipulasikan oleh banyak pihak dan malang sekali apabila diputar belit oleh ahli perundangan yang seharusnya mengetahui mengenai prinsip pengampunan sebenar.
Zaid menjelaskan bahawa kuasa pengampunan yang diberikan kepada Agong dan Raja-raja Melayu oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu yang diterima secara universal, iaitu, “hak prerogatif belas kasihan yang tinggi.”
“Saya percaya kepada kebijaksanaan dan kemampuan Tuanku dan duli-duli yang maha mulia, kalau Raja-raja melayu enggan dan takut serta rasa tertekan dalam melaksanakan kuasa pengampunan ini oleh sebab tekanan politik, maka malang sekali kepada institusi Raja-raja Melayu.
“Janganlah kita membuat ‘precedent’ (duluan) bahawa Tuanku merasa tertekan atau dibuat rasa bersalah kerana unsur-unsur yang dibangkitkan oleh peguam yang karut, unsur-unsur politik yang karut,” kata Zaid dalam video yang disiarkan di Facebook.
Thomas sebelum ini mendakwa bahawa pengampunan untuk Najib adalah “mustahil” atas “sebab undang-undang”.
“Kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diberikan oleh perlembagaan ini bukan tertakluk kepada keputusan mahkamah, berapa lama kes itu berjalan, tidak tertakluk kepada pandangan saudara dan saya, tidak tertakluk kepada pendapat ramai.
“Ia tertakluk kepada rasa pandangan peribadi Yang di-Pertuan Agong,” kata Zaid.
“Baginda perlu mengkaji semua aspek keadilan sebelum membuat keputusan. Apakah kepincangan sudah berlaku dalam sistem kita, apakah ada sebab-sebab tertentu yang perlu digunakan pengampunan baginda. Itu sahaja,” kata Zaid
Beliau turut menjelaskan bahawa peranan Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bawah perlembagaan adalah untuk menasihati Agong sekiranya Baginda memerlukan nasihat.
“Tapi kuasa untuk mengampun itu tak perlu nasihat Lembaga Pengampunan. Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong ini tidak boleh disoalkan, tidak boleh dipertikaikan. Ini telah ditetapkan 25 tahun dahulu. (Ia) ‘non-justiciable’ (tak boleh diadili),” kata Zaid sambil menjelaskan ia telah lama ditetapkan dan digunakan di mahkamah seperti kes Sim Kie Chon (1985) dan Mona Fandey (2002).
“Kita tak boleh nak mengajarnya (Agong). Kita bukan raja. Kita tak boleh memberi pandangan yang seolah-olah menekannya.
“Kita mesti pertahankan prinsip ini (kuasa pengampunan), kita jangan sekali-kali menggadai hak Raja-raja Melayu untuk membuat pengampunan, ‘absolute power to give mercy’,” katanya.
Facebook: Datuk Zaid Ibrahim

You must be logged in to post a comment Login