Antarabangsa
Penggubal undang-undang Russia cadang pindaan sekat promosi hubungan songsang dewasa
Penggubal undang-undang Russia mencadangkan untuk melanjutkan ‘larangan terhadap promosi hubungan seksual songsang kepada golongan bawah umur’ bagi memasukkan ‘orang dewasa’ dalam larangan terbabit, demikian menurut seorang penggubal undang-undang kanan pada Isnin lalu.
- Penggubal undang-undang Russia mencadangkan untuk melanjutkan ‘larangan terhadap promosi hubungan seksual songsang kepada golongan bawah umur’ bagi memasukkan ‘orang dewasa’ dalam larangan terbabit.
- Undang-undang “propaganda gay” sedia ada yang diluluskan di Russia sejak 2013, digunakan pihak berkuasa bagi menghalang perarakan gay dan menahan aktivis hak asasi gay.
- Pihak berkuasa mempertahankan nilai moral yang kian tercemar oleh nilai liberal yang dipromosikan Barat.
- Melalui cadangan pindaan undang-undang itu, sebarang keadaan atau perbuatan yang dianggap sebagai percubaan menggalakkan homoseksualiti, boleh dikenakan denda.
LONDON – Penggubal undang-undang Russia mencadangkan untuk melanjutkan ‘larangan terhadap promosi hubungan seksual songsang kepada golongan bawah umur’ bagi memasukkan ‘orang dewasa’ dalam larangan terbabit, demikian menurut seorang penggubal undang-undang kanan pada Isnin lalu.
Undang-undang “propaganda gay” sedia ada yang diluluskan di Russia sejak 2013, digunakan pihak berkuasa bagi menghalang perarakan gay dan menahan aktivis hak asasi gay.
Pihak berkuasa menegaskan mereka mempertahankan nilai moral yang kian tercemar oleh nilai liberal dipromosikan Barat. Aktivis hak asasi manusia bagaimanapun menganggap undang-undang itu digunakan bagi menakutkan komuniti LGBT di Russia.
Terkandung dalam cadangan pindaan undang-undang itu ialah sebarang keadaan atau perbuatan yang dianggap sebagai percubaan menggalakkan homoseksualiti, boleh dikenakan denda.
“Kami bercadang memanjangkan larangan ke atas propaganda terbabit secara am tanpa mengira usia penonton (luar talian, dalam media, di internet, rangkaian sosial dan langganan platform filem),” kata Ketua Jawatankuasa Maklumat Negeri Duma, Alexander Khinshtein di saluran Telegramnya dipetik agensi berita Reuters.
Speaker Parlimen, Vyacheslav Volodin minggu lalu berkata, sejak Russia keluar dari Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia Majlis Eropah selepas menghantar tentera ke Ukraine, mereka kini berkuasa untuk melarang promosi “nilai-nilai bukan tradisional”.
“Tuntutan kebenaran perkahwinan sesama jenis di Russia adalah perkara yang sudah berlalu,” katanya menegaskan “percubaan untuk membawa budaya yang asing kepada masyarakat kita sudah gagal”.
Sumber: Reuters