Terkini
“Kanak-kanak ‘tidak bernegara’, perlu main bola sepak baru dapat kerakyatan?” – Hannah Yeoh
“Mestikah anak-anak tiada kerakyatan ini bermain bola sepak dahulu sebelum pihak berkuasa prihatin dengan nasib mereka?” soal Hannah Yeoh menerusi Facebooknya hari ini.
- Ia susulan pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Andrew Tuck yang berasal dari Halifax, England itu dilaporkan kini memegang status warganegara Malaysia secara naturalisasi.
- Disebabkan situasi beginilah dari awal saya menganjurkan penubuhan kementerian untuk kanak-kanak kerana kita mampu (belanja) berbilion untuk kepentingan lelaki, tetapi kedekut untuk melindungi kanak-kanak.
- “Kanak-kanak ini akan menjadi dewasa dan akan terus mendapat akses tidak sama rata…terutama dalam pendidikan tinggi dan peluang ekonomi,” – kumpulan berkaitan hak kewarganegaraan.
KUALA LUMPUR – “Mestikah anak-anak tiada kerakyatan ini bermain bola sepak dahulu sebelum pihak berkuasa prihatin dengan nasib mereka?” soal Hannah Yeoh menerusi Facebooknya hari ini.
Ia susulan pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Andrew Tuck yang berasal dari Halifax, England itu dilaporkan kini memegang status warganegara Malaysia secara naturalisasi.
Terdahulu, pemain bola sepak lain seperti Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh dan Guilherme De Paula turut mendapat kerakyatan melalui proses sama.
Menurut Hannah Yeoh, disebabkan situasi beginilah beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut dari awal menganjurkan penubuhan kementerian untuk kanak-kanak kerana katanya kita mampu (belanja) berbilion untuk kepentingan lelaki, tetapi kedekut untuk melindungi kanak-kanak.
Ogos tahun lalu, beliau menyarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar menubuhkan kementerian khas bagi menjaga kesejahteraan kanak-kanak.
Sebelum ini, terdapat sebuah kumpulan berkaitan hak kewarganegaraan turut mempersoalkan mengapa kerakyatan boleh diberi kepada pemain bola sepak sedangkan anak yang salah seorang ibu atau bapanya rakyat Malaysia tidak diberikan kerakyatan.
“Kanak-kanak ini akan menjadi dewasa dan akan terus mendapat akses tidak sama rata…terutama dalam pendidikan tinggi dan peluang ekonomi,” kata kumpulan itu di Twitter sebagai respons kepada pemberian status kerakyatan kepada pemain bola sepak dari Kosovo, Liridon Krasniqi sekitar tahun 2020.
Menurut pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainuddin, kanak-kanak tidak bernegara di Malaysia tidak dibenarkan memiliki akaun bank, pasport atau bekerja, selain tiada akses untuk pendidikan.
Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal memberitahu Parlimen pada November 2020, Kementerian Dalam Negeri menerima 14,477 permohonan kerakyatan.
Daripada jumlah itu, hanya 45 permohonan diluluskan, manakala 691 ditolak dan selebihnya masih diproses.