Terkini
Johor paling banyak sungai tercemar
Johor mempunyai paling banyak sungai tercemar. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan Johor mempunyai bilangan sungai paling banyak tercemar dalam Kelas Tiga dan Kelas Empat.

- Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 Jabatan Alam Sekitar menunjukkan Johor mempunyai sungai yang paling banyak tercemar.
- 4 sungai di Johor dalam Kelas Empat mempunyai Indeks Kualiti Air (IKA) antara 31.0 hingga 51.9.
- Mengikut IKA, sungai dalam kelas empat hanya berfungsi sebagai pengairan sahaja.
- Manakala sungai dalam kelas lima langsung tidak boleh digunakan untuk minum atau tujuan rekreasi.
Kuala Lumpur – Johor mempunyai paling banyak sungai tercemar. Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air atau Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan Johor mempunyai bilangan sungai paling banyak tercemar dalam Kelas Tiga dan Kelas Empat.
Senarai sungai di Johor dalam Kelas Empat ialah Sungai Ayer Merah, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu dan Sungai Kempas. Indeks Kualiti Air (IKA) lima sungai tersebut antara 31.0 hingga 51.9. Sungai-sungai ini hanya berperanan sebagai saliran sahaja.
Manakala sungai-sungai di Johor dalam Kelas Tiga ialah Sungai Tampoi, Sengkuang, Sebulung, Bala, Plentong, Perembi, Danga, Temehel, Tebrau dan Semberong. Juga termasuk dalam kategori ini ialah Sungai Sanglang, Simpang Kanan, Panchor dan Sungai Sarang Buaya yang mengalir di tiga negeri iaitu Johor, Melaka serta Negeri Sembilan.
Sungai-sungai dalam Kelas Tiga memerlukan rawatan secara ekstensif sebelum boleh digunakan.
Secara ringkasnya, skor indeks kualiti air mengikut kelas adalah seperti berikut :-
Kelas 1 – untuk kegunaan konservasi alam semulajadi, sumber air yang tiada rawatan praktikal dan kegunaan perikanan bagi spesis akuatik yang sangat sensitif.
Kelas 2 – merupakan sumber air yang memerlukan rawatan konvensional dan kegunaan rekreasi melibatkan sentuhan air.
Kelas 3 – merupakan sumber air yang memerlukan rawatan secara ekstensif dan air digunakan untuk sumber ternakan spesis biasa.
Kelas 4 – digunakan untuk pengairan sahaja.
Kelas 5 – sumber air dalam kelas ini tidak boleh diminum sama sekali dan tidak boleh digunakan untuk tujuan rekreasi ini kerana terdapat jumlah pepejal terampai yang sangat tinggi dalam kandungan air kelas 5 ini.
Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan senarai sungai tercemar pada tahap kelas 4 ialah lima sungai di Johor, dua sungai di Pulau Pinang masing-masing satu di Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Bahagian Air dan Marin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Mustafa berkata kualiti air sungai dinilai berdasarkan 8,098 sampel air sungai diambil daripada 1,353 stesen pengawasan manual yang merangkumi 672 sungai di Malaysia.
Sumber : Sinar Harian
Terkini
PUTRA tolak cadangan dasar dua kewarganegaraan
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.

- Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
- Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
- Beliau turut mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India.
KUALA LUMPUR — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menolak dengan tegas cadangan melaksanakan dasar dua kewarganegaraan, dengan merujuk kepada Perkara 24 (1) kerajaan Persekutuan berhak melucutkan kewarganegaraan Malaysia terhadap individu yang memperoleh kewarganegaraan lain sekiranya dikesan memiliki dua kerakyatan.
Ahli Dewan Tertinggi (ADT) merangkap Pengerusi Biro Undang-undang, Anti Rasuah dan Integriti PUTRA, Zarina Zainal Abidin menegaskan sesiapa sahaja iaitu rakyat yang dikesan memiliki dua kerakyatan perlu melucutkan salah satu daripadanya.
Ini susulan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.
“Sesungguhnya, jawapan tersebut amatlah bersifat lebih untuk meraih populariti dan terlalu berpolitik. Apakah wajar bagi seseorang individu mempunyai dua kerakyatan? Di manakah kecenderungan bagi individu terbabit untuk menumpahkan kesetiaanya?
“Sepatutnya jawapan isu sensitif seumpama ini tidak perlu dilayan dengan jawapan tegas iaitu mana mungkin dan mustahil seseorang boleh memiliki dua kerakyatan malah untuk memohon menjadi rakyat Malaysia mesti memenuhi syarat-syarat yang ketat mengikut undang-undang yang sedia ada selama ini.
“Malah ada gesaan disyaratkan dengan lebih tegas iaitu penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zarina menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera untuk menentang cadangan itu serta berpendirian sebarang kajian tidak perlu dilakukan sama sekali kerana ia keputusan muktamad.
Pada masa sama, beliau mendesak Perdana Menteri Malaysia dan Kabinet menolak cadangan memansuhkan VISA untuk pelancong Cina dan India kerana perkara itu lebih mengundang mudarat daripada keuntungan.
Katanya, perkara perlu diberikan keutamaan bukanlah terkait kerakyatan sebaliknya isu 1.2 juta warga negara China yang direkodkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), masuk ke Malaysia dalam tempoh 2018 hingga 2021 namun masih tiada rekod keluar dari negara ini.
Ia merupakan suatu jumlah yang amat menggusarkan dan perlu diambil tindakan telus dan tegas kerana ianya pelanggaran undang-undang dan soal keselamatan negara.
“Ini yang patut diberi keutamaan bukan soal kerakyatan dan dikejutkan pula dengan pengumuman Menteri Pelancongan mengenai cadangan pengecualian Visa kepada pelancong terutama dari Cina dan mungkin dari India atas nama kepentingan merancakkan ekonomi tetapi boleh membawa padah kepada keselamatan negara dan masalah sosial yang kini pun sudah parah dan tidak terkawal.
“Cuba bayangkan jika pelancong Cina masuk tanpa tapisan melalui Visa dengan bebas. Pasti ramai akan hilang dan menetap di Malaysia.
“Isu rasuah yang menjadi barah akan menjadi lebih buruk di kalangan penguatkuasa. Perkara ini amat mengerikan kepada masa depan negara Malaysia,” kata Zarina.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghasilkan satu laporan berkenaan pengecualian visa untuk pelancong China.
King Sing berkata, kerajaan dijangka akan mendraf dasar mengenai hari lawatan yang dibenarkan untuk berada di Malaysia melalui perkhidmatan pengecualian visa. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Parti Bumiputera Perkasa Malaysia – PUTRA
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China