Antarabangsa
Guru dipenjara kerana enggan panggil “pelajar lelaki sebagai perempuan”
Seorang guru yang enggan memanggil pelajar transgender dengan panggilan jantina pilihannya dihantar ke Penjara Mountjoy kerana menghina mahkamah.

- Seorang guru di Ireland, Enoch Burke dipenjara kerana didakwa menghina mahkamah selepas beliau dilarang mengajar atau hadir di sekolahnya di Westmeath.
- Perintah mahkamah itu susulan pertikaian pada Mei lalu apabila Burke enggan memanggil pelajar transgender yang dalam peralihan sebagai ‘mereka’ dan bukannya ‘lelaki’ seperti diminta pelajar dan ibu bapa pelajar terbabit yang turut dipersetujui sekolah Church of Ireland.
- Guru itu kemudiannya digantung kerja dan enggan menjauhi sekolahnya.
- “Saya suka sekolah saya, dengan berpegang moto Res Non verba iaitu tindakan dan bukan kata-kata, saya di sini hari ini tetap tidak akan memanggil pelajar lelaki sebagai ‘perempuan’,” kata Burke.
IRELAND – Seorang guru yang enggan memanggil pelajar transgender dengan panggilan jantina pilihannya dihantar ke Penjara Mountjoy kerana menghina mahkamah.
Enoch Burke ditahan pagi kelmarin kerana masih mengajar di Sekolah Westmeath walaupun dilarang hadir ke sekolah secara fizikal atas perintah mahkamah susulan tindakan penggantunganya sebelum itu.
Sejurus Hakim Michael Quinn menjatuhkan hukuman, Burke menegaskan dia tidak akan melepaskan kepercayaan Kristiannya.
“Sangat tidak masuk akal, walaupun saya akan dibawa dari bilik mahkamah ini ke penjara, saya tetap tidak akan berputus asa dengan kepercayaan kristian saya,” katanya dipetik Daily Mail.
Peguam bagi majlis pengurusan Wilson’s Hospital School berkata, pihaknya dengan berat hati memohon pembatalan (komital) penjara itu tetapi kliennya tiada pilihan lain kerana Burke terus hadir ke sekolah walaupun dilarang berbuat demikian oleh mahkamah minggu lalu.
“Saya seorang guru dan saya tidak mahu masuk penjara. Saya mahu berada di dalam kelas saya hari ini, tempat di mana saya berada ketika ditahan pagi tadi,” kata Burke kepada hakim.
Burke yang mengajar bahasa Jerman, sejarah, politik, dan perdebatan berkata, dia amat menyayangi pelajarnya.
“Saya suka sekolah saya, dengan berpegang moto Res Non verba iaitu tindakan dan bukan kata-kata, saya di sini hari ini tetap tidak akan memanggil pelajar lelaki sebagai ‘perempuan’.
“Transgenderisme bertentangan dengan kepercayaan Kristian saya. Ia bertentangan dengan kitab suci dan etos Gereja Ireland dan sekolah saya,” kata guru itu.
Mei lalu, pertikaian bermula apabila Burke enggan memanggil pelajar transgender yang dalam peralihan sebagai ‘mereka’ dan bukannya ‘lelaki’ seperti diminta pelajar dan ibu bapa pelajar terbabit yang turut dipersetujui sekolah Church of Ireland.
Sumber: Daily Mail
