Terkini
Pindaan Akta 574 berkenaan ‘stalk’ jadi ‘modal lawak’ netizen
Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) yang menyatakan bahawa perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga satu jenayah telah menjadi bahan gurauan para netizen di ruangan komen sebuah akaun Facebook.

- Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) yang menyatakan bahawa perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga satu jenayah menjadi bahan gurauan para netizen di ruangan komen sebuah akaun Facebook.
- Majoriti pengguna Facebook seolah tidak mengambil serius apabila rata-rata mengeluarkan kenyataan bahawa mereka rela dimasukkan ke penjara dan bergelar penjenayah demi ‘stalk’ orang yang mereka minati.
- Terdapat juga komen yang mengkritik Pindaan Akta 574 dengan menyifatkannya sebagai pelik dan turut merendahkan kaum wanita memandangkan cadangan akta tersebut dikeluarkan oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
- “Walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak melibatkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa,” – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) yang menyatakan bahawa perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga satu jenayah telah menjadi bahan gurauan para netizen di ruangan komen sebuah akaun Facebook.
Pada 16 Ogos lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak melibatkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.
Malangnya, Pindaan Akta tersebut menjadi bahan jenaka netizen di satu ruangan komen di akaun Facebook Baituljannah.com yang bermula apabila pemilik akaun tersebut memuat naik tangkapan skrin Twitter yang memaparkan kenyataan timbalan menteri berkenaan.
Akaun Twitter milik individu tersebut membuat ciapan balas ke atas kenyataan itu, iaitu “Dah tak boleh stalk awak dah (emoji sedih).”
Meninjau ruangan komen, majoriti pengguna Facebook seolah tidak mengambil serius apabila rata-rata mengeluarkan kenyataan bahawa mereka rela dimasukkan ke penjara dan bergelar penjenayah demi ‘stalk’ orang yang mereka minati.
Antara komen tersebut;
Dalam pada itu, terdapat juga komen yang mengkritik Pindaan Akta 574 dengan menyifatkannya sebagai pelik dan turut merendahkan kaum wanita memandangkan cadangan akta tersebut dikeluarkan oleh Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Pada 4 Ogos lepas, pindaan Akta 574 bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah telah dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.
Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.
Rang undang-undang itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Sumber : Facebook Baituljannah.com
