Kolumnis
Mengapa guru takut mengadu masalah kepada KPM?
Dasar pendidikan negara yang sering berubah-ubah tidak dinafikan memberi cabaran yang besar terhadap para guru.

- Timbul beberapa persoalan tentang ketakutan para guru untuk meluahkan pendapat terus kepada Kementerian Pendidikan Malaysia.
- Persoalan ini timbul rentetan hantaran dibuat Dr. Anuar Ahmad tentang luahan hati seorang guru yang meminta supaya identitinya dirahsiakan.
- Penulis memberitahu bahawa beliau mempunyai jawapannya, namun mahu melihat jawapan dari PPD, JPN dan KPM.
Dasar pendidikan negara yang sering berubah-ubah tidak dinafikan memberi cabaran yang besar terhadap para guru.
Namun di sebalik cabaran yang dihadapi, para guru dilihat tidak berani tampil secara terang-terangan untuk memberi komen atau membuat aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Melalui sebuah hantaran di Facebook, Dr. Anuar Ahmad yang merupakan pensyarah Fakulti Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkongsi luahan hati seorang guru tentang kewujudan masalah dalam sistem pendidikan negara.
Walau bagaimanapun, guru tersebut meminta supaya identitinya dirahsiakan.
“Kami para guru Pendidikan Islam amatlah runsing dengan kehendak Kementerian dalam memastikan ilmu yang dicurahkan ‘sampai’ kepada pelajar.
Sambungnya lagi, “DSKP (Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi), RPT (Rancangan Pengajaran Tahunan) dan kehendak RPH (Rancangan Pengajaran Harian) TS25 (Program Transformasi Sekolah 2025) tak masuk akal. Pelajar saya secara peribadi masih ramai yang buta huruf jawi dan buta membaca al-Quran.
“Silibus pendidikan Islam begitu racau sehingga tidak tahu ke mana hala tuju.
“Pada hemat saya, ada beberapa topik yang perlu digugurkan ataupun dimurnikan agar kehendak aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) itu tercapai,” hurainya lanjut.
Oleh disebabkan itu, timbul beberapa persoalan untuk Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan ahli pasukannya perlu bincangkan dan fikirkan solusinya.
Pertama, kenapa guru-guru tidak membuat luahan/teguran, tidak memberi pandangan/maklum balas melalui ‘saluran betul’ yang sering diuar-uarkan itu?
Kedua, kenapa guru-guru meluah melalui orang tengah seperti ini? Meluah melalui laman guru di Facebook, meluah melalui Twitter, Instagram, TikTok dan seumpamanya?
Ketiga, kenapa ramai guru sanggup mencipta akaun palsu semata-mata demi meluahkan rasa terpendam, untuk menegur sistem pendidikan yang mereka rasa salah?
Padahal guru-guru ini bukannya meluahkan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Bukan minta kenaikan gaji. Bukan minta itu ini.
Malahan luahan ini dibuat demi kebaikan sistem pendidikan negara.
Teguran dan luahan hati ini adalah maklum balas yang sangat penting untuk KPM tahu. Ini luahan pelaksanaan dasar paling bawah. Pembina dasar perlu tahu dengan jelas tentang maklum balas dari pelaksana dasar ini.
Soalnya, kenapa para guru menggunakan orang tengah seperti Dr Anuar Ahmad, admin page guru dan akaun palsu?
Apa yang para guru takutkan untuk meluah melalui ‘saluran betul’ tersebut?
Kerana apa?
Saya ada jawapannya.
Cuma ingin lihat jawapan menteri, PPD, JPN dan KPM.
Sumber : Cikgu Fadli Salleh
Kolumnis
Tidak disantuni Muslim punca Islamofobia?
WAJIB bagi umat Islam sama ada yang dilahirkan Islam atau telah lama memeluk agama itu untuk membimbing saudara baharu atau mualaf dalam menangani isu Islamofobia yang menebal di Malaysia, sesuai dengan kadar pemahaman dan kemampuan mereka.

WAJIB bagi umat Islam sama ada yang dilahirkan Islam atau telah lama memeluk agama itu untuk membimbing saudara baharu atau mualaf dalam menangani isu Islamofobia yang menebal di Malaysia, sesuai dengan kadar pemahaman dan kemampuan mereka.
ISLAMOFOBIA atau ‘Islamophobia’ dalam bahasa Inggerisnya merujuk kepada kebencian atau kebimbangan sesuatu pihak atau kumpulan, khususnya bukan Muslim, terhadap Islam, penganutnya atau budayanya.
Kebiasaannya sikap atau perbuatan diskriminasi ini dikesan di negara-negara Barat, terutamanya mereka yang kurang maklumat atau kurang berinteraksi dengan masyarakat Muslim.
Namun, untuk mengatakan ia telah lama menerobos dan meresap masuk ke tanah air kita merupakan sesuatu yang tidak patut berlaku.
Ini kerana Malaysia yang berbilang kaum dan agama dengan budaya dan warisan nilainya zaman berzaman serta penuh dengan sejarahnya yang toleran yang diamalkan oleh majoriti masyarakat Melayu Islam. Di samping majoriti rakyatnya terbuka, malah berbaik sangka.
Namun Islamofobia hari ini berjaya bertapak di Malaysia, malah menjadi isu besar dalam negara. Jadi, apakah puncanya?
Hasil kajian Dr Osman Chuah pada 2002 bertajuk “Preaching to the Non Muslim Chinese in Malaysia” mendapati bahawa 90 peratus dari 100 bukan Muslim yang disoal selidik memaklumkan mereka tidak pernah disantuni oleh mana-mana Muslim untuk menceritakan tentang agama Islam.
Apabila golongan bukan Muslim mempunyai persoalan tentang Islam, mereka langsung diminta oleh kawan-kawannya untuk merujuk kepada yang arif dalam bab agama seperti ustaz dan ustazah.
Tidak dinafikan idea itu bagus tetapi permasalahannya ia kurang praktikal kerana keberadaan kebanyakan ustaz dan ustazah adalah di kawasan yang tidak mesra masyarakat bukan Muslim, iaitu masjid dan surau.
Ustaz dan ustazah pula tidak begitu aktif atau tiada langsung akaun sosial media sekiranya golongan ini ingin bertanya.
Maka, sumber yang mereka jadikan rujukan adalah internet. Sebuah platform yang penuh dengan laman sesawang anti Islam.
Akhirnya tiada yang kita bekalkan untuk mereka rujuk dan bertanya melainkan mereka membuat andaian atau spekulasi sendiri mengenai agama Islam.
Ini telah menyebabkan masyarakat bukan Muslim hidup dengan penuh 1001 persoalan tentang agama Islam.
Tambahan lagi, kelemahan segelintir masyarakat Islam sendiri yang menzahirkan perbuatan bertentangan dengan ajaran sebenar Islam, lantas ia dimainkan oleh portal berita arus perdana dan beberapa individu yang punya kepentingan, bimbang pada Islam atau survival politik mereka.
Mereka inilah yang menjaja dan mengimport fahaman Islamofobia ke tanah air supaya bukan hanya masyarakat bukan-Islam, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain takut pada Islam, sehingga membuatkan masyarakat Bukan Muslim faham bahawa kejelekan itu adalah ajaran agama Islam.
Terdapat satu kes yang pernah pihak Multiracial Reverted Muslims (MRM) kendalikan di mana seorang wanita yang memeluk Islam dan kemudiannya berkahwin dengan lelaki Melayu, tidak dibenarkan suami untuk pulang berjumpa keluarga asal sebaik sahaja bernikah sehingga ibu bapa mereka meninggal dunia.
Perihal ini bertentangan dengan ajaran agama Islam. Kes-kes sedemikian yang menyebabkan ramai masyarakat bukan Islam cukup takut anak-anak mereka memeluk Islam kerana risau kehilangan anak.
Selain itu, kurangnya perkongsian Islam kepada masyarakat bukan Muslim menyebabkan kebanyakan keluarga bukan Islam yang tidak dapat menerima pengislaman ahli keluarga mereka dengan hati terbuka lantaran daripada kesalahfahaman bahawa mereka yang memeluk Islam tidak dibenarkan tinggal dengan keluarga asal atas sebab permasalahan fekah seperti makanan tidak halal, perayaan serta budaya dan sebagainya.
Bagi mereka yang telah lama memeluk agama Islam pasti faham perasaan menjalani kehidupan sebagai saudara baharu bukanlah perkara mudah, tidak seperti mereka yang dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang beragama Islam.
Segala ancaman, tekanan dan ugutan yang diterima asbab kesan dari Islamofobia mengakibatkan sebahagian kecil orang yang memeluk agama Islam ini menyembunyikan pengislaman mereka kerana khuatir identiti mereka diketahui dan yang paling menyedihkan mereka perlu melalui fasa ini berseorangan.
Walaupun ramai dalam kalangan mereka memeluk agama Islam secara terbuka dan lebih berani pergi ke Jabatan Agama Islam atau mana-mana Pusat Pendaftaran Pengislaman seperti MRM bagi mengisytiharkan keislaman mereka dan untuk mengubah status agama di dalam rekod pendaftaran mereka, namun ini tidak menidakkan mereka akan terlepas dari terkena kesan-kesan Islamofobia yang berlaku di Malaysia.
Satu lagi kajian Dr Osman Chuah pada 1997 bertajuk “Interaction and Integration of Chinese Muslims with their Malay Counterparts in Selangor” menjelaskan beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi komuniti Cina Muslim selepas memeluk Islam, antaranya berkaitan stereotaip tidak sihat dalam keluarga bukan Muslim terhadap mereka yang menganut agama Islam.
Orang Cina yang menganut agama Islam akan dianggap sebagai pengkhianat bangsa, mereka digelar sebagai masuk Melayu (Jip Huan). Malah sehingga kini, stereotaip itu masih berlegar di komuniti Cina bukan Muslim.
Antara yang boleh kita dilakukan untuk menangani perkara ini adalah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam firman-NYA,
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” [Al Qur’an 3:110]
Imam Asy Syaukani menjelaskan tafsir ayat ini dalam Tafsir Fathul Qadir bahawa kita umat muslim akan menjadi umat yang terbaik apabila kita menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan mencegah dari segala perkara yang salah dan beriman kepada Allah s.w.t.
Perkara yang paling terbaik di sisi Allah untuk kita seru kepada orang adalah menyeru bukan Muslim dan Muslim kepada Allah s.w.t. Jumpa mereka dan buat dakwah kepada mereka. Perkenalkan mereka tentang Allah dan mengajak mereka untuk beriman kepada Allah s.w.t sepertimana firmanNYA:
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [Al Qur’an 41:33]
Manakala perkara yang paling buruk disisi Allah adalah mensyirikkanNYA, firmanNYA,
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).
Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar. [Al Qur’an 4:48]
Menyeru kepada Allah dan mencegah mereka dari melakukan syirik kepadaNYA, menyeru orang Islam untuk berakhlak mulia dan mencegah dari melakukan perbuatan keji adalah antara perkara yang paling kecil kita buat untuk membantu saudara baharu kita dalam menghadapi isu Islamofobia.
Selain itu, hubungkan mereka dengan kumpulan atau pertubuhan saudara baharu seperti MRM secara fizikal mahupun di media sosial dan laman sesawang bagi membantu sedikit sebanyak saudara baharu kita untuk melalui fasa ini.
Alangkah bahagianya jika semua Muslim memahami serta berusaha bersama-sama membanteras isu ini. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
-
Terkini2 days ago
Anak mualaf bersyukur MRM bantu uruskan jenazah ibu
-
Terkini4 days ago
Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November
-
Antarabangsa3 days ago
Penutupan kerajaan AS tidak dapat dielakkan – Biden
-
Antarabangsa3 days ago
Malaysia dijangka beri pengecualian visa kepada pelancong China