Antarabangsa
Akui pernah baca ‘The Satanic Verse’, penyerang Salman Rushdie idolakan Ayatollah Khomeini
Penyerang Salman Rushdie menyatakan dia amat menyanjungi bekas pemimpin tertinggi Iran Allahyarham Ayatollah Khomeini yang mengeluarkan fatwa hukuman bunuh kepada pengarang kontroversi British kelahiran India itu.

- Penyerang Salman Rushdie, Hadir Matar menyatakan dia amat menyanjungi bekas pemimpin tertinggi Iran Allahyarham Ayatollah Khomeini.
- Khomeini mengeluarkan fatwa hukuman bunuh kepada pengarang British kelahiran India itu ekoran novel kontroversinya ‘The Satanic Verse’ yang didakwa menghina Islam dan menyebabkan protes di seluruh dunia.
- Hadi, 24, yang didakwa di mahkamah atas cubaan membunuh Rushdie menafikan berhubung dengan Pegawal Revolusi Iran.
- Iran menafikan sebarang penglibatan dalam serangan ke atas penulis kontroversi itu.
ISTANBUL – Penyerang Salman Rushdie menyatakan dia amat menyanjungi bekas pemimpin tertinggi Iran Allahyarham Ayatollah Khomeini yang mengeluarkan fatwa hukuman bunuh kepada pengarang kontroversi British kelahiran India itu.
Hadi Matar, 24, mengatakan demikian dalam video temubual dari Penjara Chautauqua County kepada New York Post.
“Saya amat menghormati Ayatollah. Saya rasa dia seorang yang hebat. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” katanya ketika ditanya adakah dia mendapat inspirasi dari Khomeini.
Menurut lelaki itu, dia membaca beberapa halaman buku Rushdie berjudul ‘The Satanic Verses’ tetapi tidak “membacanya dari kulit ke kulit”.
Suspek itu juga menafikan berhubung dengan Pegawal Revolusi Iran, demikian laporan agensi berita Anadolu.
Rushdie adalah pengarang beberapa novel yang mendapat sambutan dan pujian ramai antaranya novel ‘Midnight’s Children’ yang memenangi ‘Booker Prize’ pada 1981.
Bagaimanapun buku “The Satanic Verses” yang diterbitkan pada 1988 pula menimbulkan protes di seluruh dunia Islam sehingga Ayatollah Khomeini mengeluarkan fatwa hukum bunuh ke atas penulis kontroversi itu.
Ayatollah Ali Khamenei yang merupakan pengganti Khomeini mengatakan yang fatwa itu masih sah pada 2019.
Hadi Matar, yang didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, mengaku tidak bersalah pada perbicaraan mahkamah Sabtu lalu.
Republik Islam Iran menafikan sebarang penglibatan dengan serangan ke atas penulis kontroversi itu.
Sumber: Anadolu Agency
