Terkini
“Wanita itu Female lah!” – Pastor di Malaysia membidas kenyataan dari Gereja England
Wanita diciptakan oleh Tuhan berbeza dengan lelaki. Oleh itu, lelaki dan wanita secara jelasnya adalah dua jenis jantina berlainan, kata Pastor Albert dari Vision Harvest Church.

- Wanita diciptakan Tuhan berbeza dengan lelaki. Oleh itu, mereka secara jelasnya adalah dua jenis jantina berlainan.
- “Kepercayaan kebebasan memilih jantina adalah salah menurut Bible,” kata Pastor Albert.
- Menurut Bible, kedua-dua jantina ini mempunyai kedudukan yang equal (sama) di mata Tuhan.
- Ternyata lelaki dan wanita adalah dua jantina yang dapat dibezakan oleh gereja tempatan.
KUALA LUMPUR – Wanita diciptakan oleh Tuhan berbeza dengan lelaki. Oleh itu, lelaki dan wanita secara jelasnya adalah dua jenis jantina berlainan, kata Pastor Albert dari Vision Harvest Church.
Susulan isu gereja di England yang enggan memberi komen dan tidak mahu menyatakan definisi untuk ‘wanita’, The Merdeka Times menghubungi gereja tempatan bagi mendapatkan jawapan dan mengkaji adakah gereja di Malaysia mempunyai pendapat yang sama seperti gereja di England?
Ketika diminta untuk memberikan definisi ‘wanita’, Pastor Albert terus menjawab “wanita itu Female lah!” dengan nada gurauan.
“Kepercayaan kebebasan memilih jantina adalah salah menurut Bible,” jelas Albert lagi.
“Lelaki dan wanita secara jelasnya adalah dua jantina yang berbeza. Menurut Bible, kedua-dua jantina ini mempunyai kedudukan yang equal (sama) di mata Tuhan,” katanya.
Ini menunjukkan yang pihak gereja tempatan tidak bermasalah untuk memberi definisi ‘wanita’, manakala gereja di England enggan memberi komen atas pelbagai sebab.
Pihak gereja di England menjelaskan mereka haruslah “berhati-hati” dalam memberi definisi maksud perkataan ‘wanita’ itu.
The Merdeka Times telah menghubungi beberapa gereja-gereja lain di sekitar Kuala Lumpur yang enggan memberi komen.
Hanya wakil dari Vision Harvest Church yang sudi memberi maklum balas.
Sebelum mengakhiri perbualan, Albert ditanya “Jadi, adakah lelaki dan wanita ini adalah dua jantina yang boleh dibezakan?”, beliau dengan segera menjawab “Ya”.
