Connect with us

Antarabangsa

Wanita berhijab sukar dapat kerja di Jerman, Belanda dan Sepanyol

Wanita Muslim berhijab lebih berhadapan dengan diskriminasi berbanding individu lain ketika memohon kerja di Jerman, Belanda dan Sepanyol, demikian menurut tinjauan penyelidik di Belanda, Jerman dan United Kingdom (UK).

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

wanita berhijab
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Wanita Muslim berhijab (bertudung) lebih berhadapan dengan diskriminasi berbanding individu lain ketika memohon kerja di Jerman, Belanda dan Sepanyol, demikian menurut satu tinjauan.
  • Tinjauan ke atas pasaran buruh di tiga negara Eropah itu dilakukan penyelidik dari Utrecht University (Belanda), Oxford University (UK) dan Pusat Penyelidikan Intergrasi dan Migrasi Jerman.
  • 35 peratus wanita berhijab mendapat maklum balas daripada majikan berbanding 70 peratus bagi wanita tidak berhijab di Belanda.
  • 25 peratus wanita Muslim berhijab menerima maklum balas berbanding 53 peratus bagi wanita Muslim tidak berhijab di Jerman.

ANKARA – Wanita Muslim berhijab lebih berhadapan dengan diskriminasi berbanding individu lain ketika memohon kerja di Jerman, Belanda dan Sepanyol, demikian menurut tinjauan penyelidik di Belanda, Jerman dan United Kingdom (UK).

Tinjauan lapangan mengenai diskriminasi dihadapi kelompok minoriti agama mencari pekerjaan di tiga negara Eropah (Jerman, Belanda dan Sepanyol) itu dijalankan penyelidik dari Utrecht University (Belanda), Oxford University (UK) dan Pusat Penyelidikan Intergrasi dan Migrasi Jerman.

Agensi berita Anadolu melaporkan dapatan tinjauan itu dikongsikan dalam artikel bertajuk, “Discrimination Unveiled: A Field Experiment on the Barriers Faced by Muslim Women in Germany, the Netherlands, and Spain” diterbitkan Oxford Academic bulan ini. 

Eksperimen itu dilakukan dengan menggunakan curriculum vitae (CV) individu sama menggunakan maklumat dan kandungan yang sama dengan foto berbeza iaitu berhijab dan tidak berhijab. 

Dapatan kajian di Belanda menunjukkan 35 peratus wanita berhijab mendapat maklum balas daripada majikan berbanding 70 peratus bagi wanita tidak berhijab. 

Senario sama juga berlaku di Jerman di mana 25 peratus wanita Muslim berhijab menerima maklum balas berbanding 53 peratus bagi wanita Muslim tidak berhijab.

“Orang awam Eropah menganggap Muslim sebagai kelompok yang sukar untuk disatukan atas sebab nilai keagamaan mereka yang bercanggah dengan budaya Eropah yang sekular.

“Terdapat banyak bukti yang wanita Muslim bertudung didiskriminasi di Jerman dan Belanda, terutamanya ketika memohon pekerjaan,” demikian menurut artikel terbabit dipetik Anadolu.

Agensi berita itu melaporkan bahawa tahap diskriminasi terhadap wanita Muslim berhijab di Sepanyol adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan dua negara Eropah terbabit.

Sumber: Anadolu

 

Author