Antarabangsa
Pastor Kristian liwat anak lelaki sendiri
Paderi lelaki yang dikenali dengan nama samaran ‘Irving Ware’ mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas seorang remaja lelaki berumur 16 tahun.
- Seorang pastor Kristian dipenjara kerana bersalah melakukan penderaan seksual terhadap anak lelaki kandungnya.
- Hukuman penjaranya dilanjutkan kepada tempoh yang lebih lama kerana hukuman awal dilihat tidak setimpal.
- Insiden tersebut meninggalkan trauma kepada mangsa.
AUSTRALIA – Seorang pastor Kristian, berumur 70 tahun, meringkuk lebih lama di dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan ACT (Australian Capital Territory) memutuskan hukuman diberi tidak setimpal dengan jenayah penderaan seksual yang dilakukan terhadap anak lelakinya.
Pastor lelaki yang dikenali dengan nama samaran ‘Irving Ware’ mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh ke atas seorang remaja lelaki berumur 16 tahun.
Pada masa itu, Hakim John Burns telah menetapkan hukuman penjara tiga tahun dua bulan, yang mana dalam tempoh tersebut, tertuduh tidak boleh diparol selama 20 bulan.
Namun, hasil rayuan pihak pendakwaan telah memanjangkan tempoh penjara kepada empat tahun 10 bulan.
Pihak pendakwaan membuat rayuan tersebut atas dasar bahawa hukuman awal yang diputuskan tidak mencukupi dan tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
“Ware patut dijatuhkan hukuman penjara lebih lama untuk kesalahannya.
“Hukuman maksimum bagi pertuduhan mempunyai hubungan seksual dengan individu muda adalah 25 tahun”, hujah pihak pendakwa.
Berikutan hujahan tersebut, tiga orang hakim membenarkan rayuan tersebut dan mendapati bahawa pelaku adalah bapa kandung mangsa dan telah menggunakan kedudukannya untuk mengawal mangsa serta mengambil kesempatan di atas kepercayaan dan kasih sayang yang mangsa berikan.
Para hakim juga mengambil kira fakta bahawa salah laku telah berlaku di rumah mangsa sendiri, tempat yang sepatutnya selamat buat dirinya.
Sepanjang empat tahun keluarga itu tinggal di ACT, tertuduh telah mendera mangsa secara seksual, yang ketika itu berusia antara 11 hingga 15 tahun.
Mangsa mengalami trauma apabila teringat detik-detik insiden berulang, yang selalunya berlaku pada pagi Sabtu.
Tertuduh akan kekal di dalam penjara dengan tempoh tanpa parol yang telah dilanjutkan kepada dua tahun enam bulan.
Sumber: ABC news