Connect with us

Terkini

Gesa Tuntutan Sulu Dibahas Segera, Ahli Parlimen Kota Belud Diarah Keluar Sidang

Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar dan digantung selama 2 hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat susulan kekecohan yang ditimbulkan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Isnaraissah Munirah Majilis
Foto: Sumber Parlimen Malaysia.
  • Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar dan digantung selama 2 hari dari menghadiri sidang Dewan Rakyat susulan kekecohan yang ditimbulkan.
  • Beliau menggesa Parlimen membincangkan isu kedaulatan negara terutama di Sabah yang dilihat lebih penting berbanding isu perhutanan.
  • Usulnya telah ditolak buat kali ke-3.
  • Beliau kesal dengan kelewatan kerajaan untuk menyegerakan tindakan yang sepatutnya bagi menangani isu tersebut.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis diarah keluar dan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama dua hari oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Azhar Azizan, susulan menimbulkan kekecohan menggesa supaya Parlimen mengutamakan isu berhubung kedaulatan negara terutamanya di Sabah dan bukannya isu perhutanan.

Sementara itu, Isnaraissah turut meminta untuk membahaskan isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah namun ianya ditolak oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Meskipun telah tiga kali ditolak, beliau nekad untuk terus mengemukakan usul supaya isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap Sabah dibahaskan segera di Dewan Rakyat.

Menurutnya lagi, usul kali keempat akan dikemukakan pada Isnin.

Ini kerana katanya, ia membabitkan kepentingan dan kedaulatan negara serta perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Kami tidak mahu Sabah berhadapan dengan kesan daripada tuntutan berkenaan, seperti pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu yang berlaku sembilan tahun lalu.

“Kami tidak mahu nanti orang Sabah yang akan hadap serangan seperti di Tanduo sebelum ini,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Isnin.

Turut hadir, tiga lagi ahli Parlimen daripada Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Datuk Rozman Isli (Labuan) dan Maimun Sulaiman (Kalabakan).

Dalam masa sama, Isnaraissah turut menggesa kerajaan menyatakan pendirian terhadap isu tuntutan waris kesultanan Sulu kerana ia membabitkan kedaulatan negara.

Malah katanya, isu tersebut bukan sahaja membabitkan rakyat Sabah, sebaliknya turut membabitkan isu keselamatan kepada negara.

“Saya mahu tahu apa pendirian negara dan ketegasan negara untuk perjuangkan apa yang dituntut oleh Sulu ini. Saya lihat kerajaan sambil lewa dan cuai terhadap isu ini. Tidak menyegerakan tindakan yang sepatutnya.

“Kadang-kadang saya sebagai anak Sabah melihat negeri ini hanya digadaikan. Sampai tahap apa lagi baru kerajaan ambil tindakan seterusnya? Yang saya jangkakan adalah sikap ketegasan kerajaan Malaysia. Tidak cukup lagikah aset Petronas dirampas, kita tunggu apa lagi yang dirampas?,” soalnya.

Antara perkara yang dipertikaikannya adalah kelewatan kerajaan membuat permohonan untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Timbang Tara Paris.

Sumber: Sinar Harian

Author