Connect with us

Terkini

Zahid ‘fighter’, KJ minta jangan matikan demokrasi dalam UMNO

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mematikan demokrasi dalam parti politik itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Zahid ‘fighter’, KJ minta jangan matikan demokrasi dalam UMNO
Foto: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kiri), Khairy Jamaluddin (kanan).
  • Beliau menerusi hantaran di Instagram, membuat kenyataan demikian sebagai tindak balas ke atas laporan yang mendakwa bahawa 126 Ketua UMNO Bahagian menyokong jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.
  • “Persoalannya, apakah UMNO ini milik ketua-ketua bahagian ini sahaja? Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka.
  • “Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar.
  • “Buka ruang pertandingan, jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” tulis beliau dalam posting itu, pagi ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mematikan demokrasi dalam parti politik itu.

Beliau menerusi hantaran di Instagram, membuat kenyataan demikian sebagai tindak balas ke atas laporan yang mendakwa bahawa 126 Ketua UMNO Bahagian menyokong jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.

“Persoalannya, apakah UMNO ini milik ketua-ketua bahagian ini sahaja? Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar. 

“Buka ruang pertandingan, jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” tulis beliau dalam posting itu, pagi ini.

Foto: Tangkap layar hantaran story di Instagram Khairy Jamaluddin.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Januari bersamaan 18 sehingga 21 Jamadilakhir 1444H.

Terdahulu,  bekas Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu beliau atau sekutunya akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya terpilih sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Khairy sebelum ini, dilihat lantang mengkritik pemimpin atasan parti dengan mendakwa UMNO kini sudah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan.

Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.

Tegasnya, sebelum ini beliau juga pernah dicabar dalam pemilihan pada 2018, namun kedua-dua pencabarnya gagal memperolehi undi yang banyak.

Pada Pemilihan UMNO 2018, Ahmad Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.

Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.

Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi. – The Merdeka Times

Sumber : Instagram Khairy Jamaluddin

Author