Connect with us

Terkini

KDN batalkan larangan penerbitan komik ‘Superman Hew’

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau  atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’, demikian lapor media tempatan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau  atau dikenali sebagai 'Superman Hew’.
  • Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau  atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’, demikian lapor media tempatan.
  • Ia terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos lalu.
  • Pada 23 Oktober 2019, KDN dilaporkan berkata perintah larangan itu dikenakan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
  • Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau  atau dikenali sebagai ‘Superman Hew’, demikian lapor media tempatan.

Ia terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos lalu.

Pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik berkenaan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang telah disiarkan dalam Warta pada 23 Oktober 2019 yang melarang pencetakan, pengimportan,penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam Jadual,” demikian menurut Warta Kerajaan Persekutuan itu.

Pada 23 Oktober 2019, KDN dilaporkan berkata perintah larangan itu dikenakan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

la juga dikatakan boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha dan perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara.

KDN berkata kandungan penerbitan itu juga dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

Warta Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Kuan Yau pada tahun sama mengatakan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’ yang ditulisnya bukan diterbitkan DAP dan beliau akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap sebarang isu berkenaan komik itu.

Bekas ahli DAP itu ialah pengarang bersama komik yang diterbitkan Muzium Budaya Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina.

Pada Julai 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan buku komik kontroversi itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Mewakili keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, Hakim P Ravinthran menegaskan tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum KDN mengharamkan buku terbabit melalui warta perintah pada 23 Okt 2019.

Kerajaan Persekutuan pada 8 Disember 2022, turut dilaporkan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik itu. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *