Connect with us

Terkini

Basmi kemiskinan: Umat Islam perlu guna pendekatan lebih meluas, selaras – Sultan Nazrin

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam perlu menggunakan pendekatan dalam skala yang lebih luas dan selaras, dalam usaha membasmi kemiskinan multidimensi tegar yang sedang melanda dunia.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
  • Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah majoriti penduduk Islam masih terdiri dalam kalangan mereka yang termiskin di dunia.
  • “Apa yang merisaukan beta apabila kajian menunjukkan walaupun di negara dengan pembangunan manusia sangat tinggi, penduduk Islam masih hidup dalam serba kekurangan, contohnya di United Kingdom kira-kira separuh umat Islam dianggarkan hidup dalam kemiskinan, berbanding hanya 18 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.
  • “Adalah tidak wajar apabila begitu ramai saudara Islam di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk menampung keperluan asas harian mereka, kita tidak mampu bersatu jika ada dalam kalangan kita perlu berjuang hanya untuk meneruskan kehidupan,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia ke-7 (WCIT2024).
  • “Amal jariah, pemurah, dermawan: ini semua terkandung dalam asas kepercayaan kita; terdapat Hadis sahih yang bermaksud ‘Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan’.
  • “Islam mempunyai pelbagai cara yang boleh digunakan bagi memastikan kesemua jiran mendapat makanan secukupnya, zakat atau ‘cukai wajib bagi umat Islam untuk memastikan keadilan sosial menerusi pengagihan kekayaan, satu daripada Rukun Islam; selain pendekatan lain seperti wakaf dan sedekah yang akan menggalakkan lagi amal jariah sebagai prinsip teras kehidupan Islam,” titah baginda.

IPOH — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah umat Islam perlu menggunakan pendekatan dalam skala yang lebih luas dan selaras, dalam usaha membasmi kemiskinan multidimensi tegar yang sedang melanda dunia.

Baginda bertitah majoriti penduduk Islam masih terdiri dalam kalangan mereka yang termiskin di dunia.

“Apa yang merisaukan beta apabila kajian menunjukkan walaupun di negara dengan pembangunan manusia sangat tinggi, penduduk Islam masih hidup dalam serba kekurangan, contohnya di United Kingdom kira-kira separuh umat Islam dianggarkan hidup dalam kemiskinan, berbanding hanya 18 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhan.

“Adalah tidak wajar apabila begitu ramai saudara Islam di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk menampung keperluan asas harian mereka, kita tidak mampu bersatu jika ada dalam kalangan kita perlu berjuang hanya untuk meneruskan kehidupan,” titah baginda pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia ke-7 (WCIT2024).

Turut hadir pada persidangan antarabangsa yang bertemakan ‘Berdiri Bersama: Umat Islam dan Kemanusiaan Sejagat’ itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin bertitah kebanyakan negara yang memerlukan paling banyak bantuan dilihat mempunyai akses sangat terhad terhadap sumber untuk mengatasi kekurangan dan meringankan penderitaan.

Baginda bertitah negara Islam perlu melipatgandakan usaha untuk menggerakkan dana yang diperoleh melalui mekanisme kewangan sosial Islam dan baginda juga gembira untuk melihat terdapat peningkatan momentum dalam usaha tersebut.

Sultan Nazrin bertitah kini semakin banyak platform digital dan fintech yang membolehkan umat Islam di seluruh dunia menyalurkan zakat dan sumbangan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Beta berharap langkah itu akan mendorong lebih banyak dana dapat disalurkan kepada mereka yang paling memerlukan,” titah baginda.

Dalam perkembangan lain, baginda bertitah umat Islam mesti berusaha mencari jalan membantu saudara Islam di seluruh dunia, untuk memenuhi keperluan dan mengurangkan penderitaan bagi merealisasikan sepenuhnya potensi mereka.

Sultan Nazrin bertitah dalam pendekatan Islam sudah terkandung mekanisme untuk menyelaraskan ketidakseimbangan ini dan menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Amal jariah, pemurah, dermawan: ini semua terkandung dalam asas kepercayaan kita; terdapat Hadis sahih yang bermaksud ‘Tidak termasuk orang yang beriman, orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan’.

“Islam mempunyai pelbagai cara yang boleh digunakan bagi memastikan kesemua jiran mendapat makanan secukupnya, zakat atau ‘cukai wajib bagi umat Islam untuk memastikan keadilan sosial menerusi pengagihan kekayaan, satu daripada Rukun Islam; selain pendekatan lain seperti wakaf dan sedekah yang akan menggalakkan lagi amal jariah sebagai prinsip teras kehidupan Islam.

“Dianggarkan sumbangan zakat global boleh mencecah US$1 trilion setiap tahun. US$ 1 trilion. Cuba renungkan! ini jumlah yang sungguh menakjubkan. Justeru, melihat kepada jumlah ini, bagaimana masih ramai saudara Islam kita masih bergelut untuk hidup?,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah meskipun kewangan sosial Islam mempunyai dana yang banyak, namun usaha untuk mengatasi kemiskinan juga terlalu luas.

“Puncanya terlalu kompleks dan saling berkait termasuk peperangan, perpindahan, cuaca ekstrem dan kebuluran. Krisis sebegini sungguh mencabar untuk ditangani. Terdapat jurang global antara keperluan pembangunan kemanusiaan dan tidak terkecuali pembiayaan serta kewangan Islam.

“Meskipun, nilai kewangan sosial Islam secara global sangat besar, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hanya berjaya mengumpul sebahagian kecil iaitu kurang daripada US$200 juta atau sekitar 0.02 peratus daripada anggaran zakat global,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah baginda berasa sukacita kerana Malaysia telah menjadi ahli Bank Pembangunan Islam (IDB) selama 50 tahun – hampir sejak bank ini ditubuhkan pada 1975 – ini contoh organisasi kewangan utama yang turut komited dalam usaha kemanusiaan.

“Institusi sebegini boleh menggerakkan sejumlah besar wang dan bekerjasama dengan organisasi berprofil tinggi lain, untuk mengembangkan kumpulan sumber pembangunan seperti ID Lives dan Livelihoods Fund.

“Dana ini bertujuan mewujudkan laluan mampan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Menumpukan kepada pembangunan mampan bagi komuniti tempatan, menyokong infrastruktur penjagaan kesihatan dan projek pertanian agar dapat membantu rakyat untuk meneruskan kehidupan,” titah baginda. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *