Connect with us

Terkini

Hukuman diyat ganti mati mandatori, diskriminasi pesalah miskin?

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan supaya hukuman diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) dapat dikaji dan dilaksanakan di Malaysia.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Hukuman diyat ganti mati mandatori, diskriminasi pesalah miskin?
Foto: Al-Sultan Abdullah menyempurnakan Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang.
  • Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan hukuman diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) dapat dikaji dan dilaksanakan di Malaysia.
  • Hukuman diyat boleh dilaksanakan dalam perundangan negara sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
  • “Ia memberikan pembelaan kepada keluarga mangsa serta memberi keadilan terhadap semua pihak,” – Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.
  • “Ia antara idea diterima jika hukuman mati mandatori dimansuhkan kelak,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).
  • Bagaimanapun ia hanya memberi kelebihan buat pesalah kaya berbanding miskin yang tidak mampu melunaskan pampasan kepada keluarga mangsa kes.
  • Aspek pemakaian diyat kepada penjenayah bukan Islam turut dibincangkan.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyarankan supaya hukuman diyat (pampasan kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan tindakan penjenayah) dapat dikaji dan dilaksanakan di Malaysia.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pelaksanaan hukuman diyat itu sudah dicadangkan oleh Baginda sejak lima hingga enam tahun lalu namun ia masih di peringkat kajian hingga kini.

Dalam pada itu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata pertimbangan menggunakan konsep diyat sebagai hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori boleh diusulkan untuk dilaksanakan dalam perundangan negara. 

Menurutnya, ia dapat memberikan pembelaan kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan maut atau seumpamanya akibat kecuaian orang lain serta memberi keadilan terhadap semua pihak.

Beliau berkata, nyawa manusia adalah perkara paling bernilai untuk dijaga dalam syariat Islam dan secara perbandingan nyawa hidupan lain adalah lebih rendah.

Katanya, apabila berlaku konflik, nyawa manusia perlu diselamatkan dulu sebelum nyawa lain.

Terdahulu, 8 Jun media melaporkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerajaan berkemungkinan memperkenalkan konsep diyat ke atas banduan hukuman mati sedia ada termasuk untuk pesalah yang bukan Islam.

Ia antara idea diterima oleh beliau jika hukuman mati mandatori dimansuhkan kelak.

Namun katanya, “Mungkin ia dibuat menyeluruh atau kes tertentu sahaja kerana kita kena pertimbang banyak isu termasuk keadilan untuk keluarga mangsa.”

Ini susulan pada bulan sama, kerajaan memutus menubuhkan tribunal bagi mengkaji 1,342 kes banduan akhir, sebelum pindaan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan di Parlimen.

Bagaimanapun, jelasnya, terdapat kekurangan berkenaan konsep diyat yang di mana ia hanya mampu dilunaskan golongan berada sahaja dan ia tidak akan membantu semua golongan masyarakat.

Justeru, ia merupakan satu bentuk diskriminasi antara golongan kaya dan miskin.

Malah, aspek pemakaian diyat kepada penjenayah bukan Islam turut dibincangkan dan dilihat sebagai cabaran terhadap pelaksanaan cadangan ini secara umumnya.

Beliau turut menyatakan, ini menunjukkan masih banyak isu perlu dipertimbangkan bagi mengambil kira sensitiviti waris mangsa jenayah kejam itu yang mungkin terkesan teruk dan tidak mencapai objektif keadilan.

Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh penjenayah kepada wali atau waris mangsa sebagai ganti rugi disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsa.

Author