Terkini
Ingin jadi ‘jutawan segera’ punca pelajar enggan sambung belajar
Sebahagian anak muda menganggap pendidikan tidak penting kerana terpengaruh ‘jutawan segera’ media sosial yang memudahkan pelbagai perkara termasuk pemasaran diri dan produk.
- Sebahagian anak muda menganggap pendidikan tidak penting kerana terpengaruh ‘jutawan segera’ media sosial yang memudahkan pelbagai perkara termasuk pemasaran diri dan produk.
- Ramai ambil peluang berniaga dalam talian atau menjadi pempengaruh dengan pelbagai ‘content’ namun yang membezakannya, ilmu pengetahuan dan nilai diketengahkan.
- “Lihat segmentasi pasaran dan siapa yang mendominasinya pada masa ini. Banyak yang berasaskan testimoni dan emosi,” – Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
- “Pendidikan tinggi bukan hanya melahirkan pekerja berkemahiran namun menghasilkan usahawan yang berperanan sebagai ‘job creators’ dan mampu menawarkan peluang pekerjaan.”
- “Jika anak-anak muda sudah tidak berminat dengan pengajian tinggi, negara akan bergantung kepada orang luar dalam proses pembangunan negara pada masa hadapan. Kita akan selamanya menjadi pengguna teknologi bukannya penghasil teknologi.”
- “Ibu bapa terlebih dahulu kena ubah pemikiran dan bersikap tegas supaya anak-anak rasa bahawa mereka harus jadi orang berpendidikan. Jangan semata-mata salahkan guru, kerajaan atau sistem tapi lupa muhasabah diri,” – bapa.
“TIDAK belajar tinggi pun boleh dapat gaji sama dengan mereka yang ada ijazah, RM4,000 sebulan.
“Tidak masuk universiti pun, mampu pakai kereta mewah,”
Umumnya itu antara ulasan paling klise yang didengar masa kini. Ia gara-gara pendedahan media mengenai sejumlah 72 peratus anak muda tidak lagi berminat untuk melanjutkan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan, berkata senario berkenaan berlaku disebabkan rantaian peristiwa yang terjadi di keliling kita, lapor Berita Harian hari ini.
Menurutnya, senario ini bermula semasa penularan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi dunia bergolak serta pelbagai lagi krisis yang membuatkan ramai berusaha keras memulihkan kehidupan.
Dalam usaha itu, masyarakat juga melihat perkembangan media sosial yang semakin pesat sehingga ada sebahagian paparannya mengaburi pandangan dan menjadikan ramai keliru dengan realiti yang terjadi.
“Justeru terdapat sebahagian anak muda terpengaruh dengan ‘jutawan segera’ media sosial dan dunia maya yang memudahkan pelbagai perkara termasuk pemasaran diri dan produk.
“Malah lebih parah apabila sebahagian mereka menganggap pendidikan sudah tidak penting,” katanya.
Tegas beliau, dalam perkembangan media sosial kini, ramai mengambil peluang berniaga dalam talian atau muncul sebagai pempengaruh dengan pelbagai ‘content’ namun apa yang membezakannya ialah ilmu pengetahuan dan nilai yang diketengahkan.
Katanya, pertimbangan berasaskan ilmu pengetahuan yang tinggi akan sedikit sebanyak menjadi cabaran kepada kelompok pempengaruh media sosial ini.
“Lihat segmentasi pasaran dan siapa yang mendominasinya pada masa ini. Banyak yang berasaskan testimoni dan emosi.
“Pada masa sekarang, lebih kepada kekuatan pengaruh individu bermain dengan emosi dan keperluan semasa masyarakat.
“Pada masa depan, keadaan akan berubah jika dominasi itu berubah dan ilmu pengetahuan berasaskan data dan fakta menjadi asas membuat keputusan,” katanya .
Buat keputusan yang baik
Dr Faisal Rafiq berkata, pendidikan tinggi menjadikan seseorang itu berupaya membuat keputusan yang baik dan menjana pemikiran untuk masa hadapan seterusnya berfikiran jauh dalam menghadapi persaingan.
Tanpa ilmu, proses itu akan tersekat dan masyarakat serta negara akan tertinggal jauh di belakang negara-negara maju yang rakyatnya berusaha dan bersaing untuk menguasai ilmu.
“Lihatlah peratusan mereka yang mempunyai taraf pendidikan tinggi di negara-negara maju yang sesetengahnya melangkaui 50 peratus daripada keseluruhan penduduknya.
“Perubahan dan perkembangan teknologi sebenarnya membuka peluang yang lebih luas kepada graduan.
“Pendidikan tinggi bukan hanya melahirkan pekerja berkemahiran namun menghasilkan usahawan yang berperanan sebagai ‘job creators’ dan mampu menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.
Tegas beliau, sangat penting untuk mengubah persepsi bahawa universiti adalah kilang pengeluar tenaga kerja. Sebaliknya apa yang dibangunkan ialah manusia dengan sifat kompleks, serta memiliki pemikiran dan kebolehan yang berbeza antara satu sama lain.
Tanggungjawab universiti ialah menghasilkan manusia yang berupaya berfikir, memperkayakan bakat, berinovasi, kreatif dan berupaya menghadapi persaingan serta apa penting menyesuaikan diri dalam persekitaran yang berubah-ubah dan mencabar.
“Dalam hal ini, universiti perlu mengeluarkan lebih ramai cerdik pandai misalnya untuk memajukan sumber-sumber pertanian, teknologi pengeluaran barangan dan bidang kesihatan untuk kesejahteraan rakyat.
“Jika anak-anak muda sudah tidak berminat dengan pengajian tinggi, negara akan bergantung kepada orang luar dalam proses pembangunan negara pada masa hadapan. Kita akan selamanya menjadi pengguna teknologi bukannya penghasil teknologi,” katanya.
Usaha mendapat pekerjaan lebih baik
Sementara itu bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, CT Faizah Abdul Rahman, berkata menyambung pelajaran itu sendiri adalah satu daripada usaha untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
Bukan itu sahaja, universiti juga menjadi tempat untuk seseorang itu mengembangkan jaringan dan lebih banyak peluang yang boleh direbut serta diketahui sekiranya seseorang itu mempunyai jaringan kukuh dengan ramai orang.
“Diakui tidak semua individu lahir dalam serba kemewahan untuk menanggung kos pengajian. Ada yang serba kekurangan dan perlu melakukan pinjaman. Namun tidak wajar hal itu dianggap sebagai beban dan halangan.
“Menyambung pengajian bukan hanya untuk ilmu tetapi melatih individu memiliki kepakaran yang diperlukan sebagai persiapan masuk ke dunia pekerjaan.
“Selain itu ia juga fasa penting bagi melatih interaksi dan mewujudkan jaringan yang baik dengan masyarakat,” katanya.
Tambah CT Faizah, banyak usaha perlu dibuat oleh pelbagai pihak untuk menarik minat anak muda menyambung pelajaran dalam situasi semasa.
Bagi seorang bapa, Ahmad Yakqub Nazri, 40, sikap tidak berminat dengan pelajaran bukan terbina sehari dua sebaliknya ia terbentuk sepanjang tempoh anak-anak itu membesar dan dipengaruhi apa yang mereka lihat dan dengar.
Tegasnya, sebagai ibu bapa kita sebenarnya guru pertama anak-anak. Justeru ibu bapa perlu berpandangan jauh, bersikap tegas dan mengambil tahu apa berlaku di sekolah.
“Ia bermula dengan keprihatinan kita terhadap pembelajaran mereka. Buka buku sekolah mereka, ambil tahu apa yang guru komen. Kita juga perlu tahu kelemahan dan kekurangan mereka malah tentu saja maklum bila anak-anak ini dijadualkan menghadapi ujian atau peperiksaan dan aktiviti seharian mereka.
“Ibu bapa terlebih dahulu kena ubah pemikiran dan bersikap tegas supaya anak-anak rasa bahawa mereka harus jadi orang berpendidikan. Jangan semata-mata salahkan guru, kerajaan atau sistem tapi lupa muhasabah diri.
“Saya faham ramai ibu bapa sibuk cari rezeki tapi perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak jangan sampai terlepas pandang proses pembangunan mereka,” katanya.
Sumber : Berita Harian