Komuniti
EKSKLUSIF: 5,000 penduduk Damansara Damai bantah kuil dibina di kawasan majoriti Islam
Seramai 5,000 penduduk Damansara Damai membantah pembinaan sebuah kuil yang difahamkan diluluskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) walaupun majoriti penduduk kawasan terbabit adalah penganut agama Islam.
- 5,000 penduduk Damansara Damai membantah pembinaan sebuah kuil yang difahamkan diluluskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) walaupun majoriti penduduk kawasan terbabit adalah penganut agama Islam.
- Bantahan disuarakan dalam memorandum bantahan bertarikh 18 Januari 2022 yang dihantar dan belum menerima sebarang maklumbalas daripada pihak berkuasa tempatan terbabit.
- Ini merupakan bantahan ketiga yang dihantar kepada MBPJ selepas memorandum bantahan pertama pada 2017 dan bantahan kedua yang disokong 300 penduduk dihantar kepada pihak berkuasa tempatan itu pada 2019 dan pembinaan kuil itu ditangguhkan sementara.
- Penduduk membantah atas tiga alasan iaitu jalan keluar masuk sempit; majoriti penduduk Apartmen Impian adalah Melayu/Islam dan ketiga; kebimbangan pengunjung luar tidak sensitif bila mengunjungi kuil itu (jika dibina) sekaligus ancaman risiko ketenteraman penduduk setempat.
- Kain rentang bantahan dinaikkan penduduk sebelum ini diturunkan pihak MBPJ dengan kehadiran polis, tapi persoalan timbul kenapa ada kelibat 10 individu berbangsa India berada di kawasan itu ketika kejadian.
KUALA LUMPUR – Seramai 5,000 penduduk Damansara Damai membantah pembinaan sebuah kuil yang difahamkan diluluskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) walaupun majoriti penduduk kawasan terbabit adalah penganut agama Islam.
Bantahan itu disuarakan dalam memorandum bantahan badan bertindak penduduk setempat bertarikh 18 Januari 2022 yang dihantar kepada MBPJ dan belum menerima sebarang maklumbalas daripada pihak berkuasa tempatan itu.
Ini merupakan bantahan ketiga yang dihantar kepada MBPJ selepas memorandum bantahan pertama pada 2017 dan bantahan kedua yang disokong 300 penduduk dihantar kepada pihak berkuasa tempatan itu pada 2019 dan pembinaan kuil itu ditangguhkan sementara.
Sebelum ini, isu bantahan penduduk Damansara Damai terhadap pembinaan kuil ini dibangkitkan dalam posting Facebook Surau Al-Huda Apt Impian memaparkan penduduk tempatan menaikkan kain rentang bantahan pembinaan kuil di kawasan majoriti penganut Islam itu.
“Bantahan sudah dibuat awal (selepas penduduk) dimaklumkan mengenai perancangan pembinaan kuil ini pada 2017,” kata wakil penduduk yang dihubungi The Merdeka Times (TMT) tetapi enggan didedahkan identitinya atas faktor keselamatan.
TMT difahamkan kain rentang terbabit telah diturunkan pihak berkuasa tempatan dengan kehadiran pihak polis semalam.
Namun apa yang menimbulkan persoalan adalah penduduk tempatan mendakwa terdapat kehadiran sekurang-kurangnya 10 individu berbangsa India ketika kain rentang bantahan itu diturunkan pihak berwajib.
Menurut memorandum bantahan yang mendapat sokongan 5,000 penduduk Damansara Damai itu, penduduk setempat membantah sekeras-kerasnya pembinaan kuil itu berdasarkan beberapa sebab utama yang membabitkan keharmonian dan kemakmuran antara agama dan kaum.
Pertama; kerana faktor Jalan PJU 10/1F adalah satu-satunya jalan keluar masuk ke kediaman penduduk tempatan (Apartmen Impian) yang sememangnya sempit.
Kedua; majoriti penduduk di Apartmen Impian dan seluruh penduduk Damansara Damai adalah Melayu/Islam.
Atas alasan ini, penduduk di Apartmen Impian berpendapat adalah menjadi kelaziman kelulusan rumah ibadat mestilah mengambilkira dan mengikut majoriti agama penduduk tempatan di situ sepertimana masjid tidak akan dibina di kawasan majoriti orang bukan Islam.
Ketiga; faktor kebimbangan penduduk setempat jika kuil itu dibina maka ia akan dikunjungi pengunjung luar dari Damansara Damai yang berkemungkinan tidak peka dengan sensitiviti penduduk tempatan dan dikhuatiri menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
Wakil penduduk tempatan memberitahu TMT bahawa memorandum bantahan pada 2019 yang ditandatangani 300 penduduk Damansara Damai ketika itu menyebabkan projek pembinaan kuil itu dihentikan sementara.
Pembinaan kuil itu dikatakan diteruskan pada tahun ini menyebabkan penduduk menaikkan kain rentang bantahan dan menghantar memorandum bantahan disokong 5,000 penduduk Damansara Damai kepada MBPJ yang belum menerima sebarang maklumbalas.
“Kami tidak pasti surat (memorandum bantahan itu sudah diterima pihak terbabit atau tidak,” kata wakil penduduk itu.
Difahamkan, penduduk di kawasan terbabit juga turut mempersoalkan tentang cara papan tanda pembinaan itu dinaikkan dan juga cara pemilikan tanah bagi tapak kuil kontroversi itu diperolehi.
TMT difahamkan satu sesi penerangan khas di antara MBPJ dan polis dengan penduduk Damansara Damai akan diadakan di Dewan Apartmen Impian pada Jumaat ini (5 Ogos 2022) jam 9.30 malam. – The Merdeka Times
Sumber: FB Surau Al-Huda