Connect with us

Terkini

Kempen anti-merokok gagal

Kempen anti-merokok yang dijalankan di Malaysia disifatkan gagal apabila seramai 43,019 pelajar didapati merokok pada tahun lalu sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Selasa.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Kempen anti-merokok gagal
Foto: Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik.
  • Kempen anti-merokok dijalankan di Malaysia disifatkan gagal apabila seramai 43,019 pelajar didapati merokok pada tahun lalu sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Selasa.
  • Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik berkata berkemungkinan angka itu jauh lebih tinggi kerana bagi satu kes dinyatakan di sebaliknya ada empat kes lain tersembunyi.
  • Beliau menggesa cecair vape mengandungi nikotin dikembalikan di bawah Akta Racun 1952 untuk membendung pelajar dan remaja dari terjebak dalam perkara itu.
  • Peranan guru dalam membendung tabiat merokok atau vape dalam kalangan pelajar di sekolah terhad kerana terikat dengan peraturan-peraturan tertentu.
  • Ia menyebabkan mereka hanya boleh memberi nasihat, teguran atau menyemak beg sekolah sekiranya ada barangan terlarang tersebut kemudiannya melaporkan perkara itu kepada waris untuk berbincang.

KUALA LUMPUR — Kempen anti-merokok yang dijalankan di Malaysia disifatkan gagal apabila seramai 43,019 pelajar didapati merokok pada tahun lalu sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat pada Selasa.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Jasni Md Kechik berkata berkemungkinan angka itu jauh lebih tinggi kerana bagi satu kes dinyatakan di sebaliknya ada empat kes lain tersembunyi.

Beliau menggesa cecair vape mengandungi nikotin dikembalikan di bawah Akta Racun 1952 untuk membendung pelajar dan remaja dari terjebak dalam perkara itu.

Bagi saya untuk membendung vape ini daripada berleluasa digunakan golongan remaja ataupun pelajar sekolah lebih baik ia dikawal di bawah Akta Racun melaluinya ada denda tertentu, sekali gus melahirkan rasa takut kepada pelajar berikutan berisiko didenda kerana mengambil vape.

“Dan sudah tentu waris pun akan marah kepada anak-anak mereka sebab akan kena denda tapi kalau tiada sekatan dalam keadaan sekarang ini, kita kesukaran nak mengawal dan mendidik murid-murid daripada mengambil vape,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Rabu.

Jasni berkata kesukaran itu mungkin disebabkan pengaruh rakan sebaya, media sosial di mana pelajar akan lebih terdorong untuk mengambil vape tambahan lagi apabila ia dikeluarkan daripada Akta Racun maka mereka menganggap ia tiada masalah atau tiada racun.

Beliau menegaskan pengambilan vape mahupun rokok sama sekali tidak mendatangkan kebaikan, sebaliknya hanya mendatangkan keburukan kepada kesihatan dan mental pelajar.

Bagaimanapun, katanya peranan guru dalam membendung tabiat merokok atau vape dalam kalangan pelajar di sekolah adalah terhad kerana terikat dengan peraturan tertentu.

Ia menyebabkan mereka hanya boleh memberi nasihat, teguran atau menyemak beg sekolah sekiranya ada barangan terlarang tersebut kemudiannya melaporkan perkara itu kepada waris untuk berbincang.

“Sejauh mana guru nak komitmen beri nasihat semua itu terletak kepada guru terletak kepada pelajar itu sendiri juga. 

“Kadang-kadang dengar nasihat, dengar sahajalah tapi tak ada apa-apa pun sebab itu waris kena mainkan peranan yang sangat penting (beri nasihat dan memantau) supaya  anak-anak berhenti ambil vape ataupun mengelak terjebak dari vape,” kata Jasni yang juga merupakan seorang pendidik. 

Bermula 1 April lalu, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml), ia diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin, kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Dr Zaliha juga dilapor akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Pihaknya menyasarkan RUU baharu itu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *