Connect with us

Antarabangsa

Virus baru ditemui dalam kelawar di China undang risiko radang otak

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Pathogens menekankan kepentingan untuk sentiasa memantau kelawar dan haiwan lain yang tinggal berdekatan  penempatan manusia serta mengelakkan sebarang bentuk sentuhan dengan haiwan itu.
  • “Kelawar yang membuang air kecil ke dalam bekas kutipan nira kurma merupakan antara cara virus Nipah mula tersebar dari kelawar ke manusia,” – Edward Holmes, penyelidik, ahli virologi dari Universiti Sydney.
  • Oleh kerana kelawar dalam kajian ini tinggal berhampiran kebun buah-buahan dan kampung, terdapat risiko buah-buahan yang tercemar boleh menjadi medium untuk patogen ini menjangkiti haiwan ternakan atau manusia.

SHANGHAI – Saintis di China telah menemui virus yang berkait rapat dengan virus Nipah dan Hendra yang berbahaya, yang boleh menyebabkan keradangan otak yang teruk dan penyakit pernafasan dalam kalangan manusia.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS Pathogens, menekankan kepentingan untuk sentiasa memantau kelawar dan haiwan lain yang tinggal berdekatan kawasan penempatan manusia serta mengelakkan sebarang bentuk sentuhan dengan haiwan berkenaan.

Kelawar merupakan perumah semula jadi kepada banyak patogen yang boleh menyebabkan penyakit pada manusia, namun sejauh mana bakteria, virus, dan ejen berjangkit lain yang dibawa haiwan itu masih belum diketahui sepenuhnya.

Kebanyakan kajian terdahulu hanya menumpukan kepada najis kelawar kerana lebih mudah dikumpulkan, tetapi ia hanya memberikan maklumat tentang virus yang terdapat dalam najis sahaja.

Untuk menyiasat patogen yang terdapat dalam buah pinggang kelawar, satu pasukan yang diketuai oleh Yun Feng dari Institut Kawalan dan Pencegahan Penyakit Endemik Yunnan telah mengambil sampel buah pinggang daripada 142 ekor kelawar melibatkan 10 spesies, yang dikumpulkan dari wilayah Yunnan, China.

Pembacaan kod genetik mendedahkan sebanyak 22 virus — 20 daripadanya belum pernah ditemui sebelum ini — selain satu parasit protozoa baharu dan dua jenis bakteria, salah satunya merupakan spesies baharu dalam bidang sains.

Penyelidik bersama kajian, Edward Holmes, seorang ahli virologi dari Universiti Sydney, Australia, berkata bahawa tumpuan terhadap buah pinggang adalah penting kerana organ ini memberi petunjuk kepada virus yang mungkin disingkirkan melalui air kencing, dan air kencing merupakan salah satu cara virus kelawar boleh menjangkiti manusia.

“Kelawar yang membuang air kecil ke dalam bekas kutipan nira kurma merupakan antara cara virus Nipah mula tersebar dari kelawar ke manusia,” katanya kepada Live Science.

Oleh kerana kelawar dalam kajian ini tinggal berhampiran kebun buah-buahan dan kampung, terdapat risiko buah-buahan yang tercemar boleh menjadi medium untuk patogen ini menjangkiti haiwan ternakan atau manusia.  – The Merdeka Times

Author