Terkini
Vaksin mungkin beri perlindungan berganda terhadap penyakit nyanyuk – Kajian Universiti Oxford

- Kajian yang diterbitkan jurnal npj Vaccines mendapati suntikan vaksin bukan sahaja menahan daripada jangkitan virus, tetapi juga melindungi otak melalui bahan kimia tambahan yang dikenali sebagai “adjuvan”.
- Analisis terhadap rekod kesihatan 430,000 individu di Amerika Syarikat, mendapati vaksin terhadap virus pernafasan RSV menggunakan vaksin Arexvy mencatat pengurangan 29 peratus dalam diagnosis penyakit Alzheimer dan dimensia.
- Penemuan berkenaan menambah kepada bukti yang semakin meningkat tentang kaitan antara jangkitan virus dan demensia.
OXFORD – Jika sebelum ini ada vaksin yang dikatakan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi mudah lupa, namun kajian terbaru Universiti Oxford menunjukkan sesetengah vaksin mungkin dapat mengurangkan risiko demensia yang boleh menyebabkan nyanyuk.
Kajian yang diterbitkan jurnal npj Vaccines mendapati suntikan vaksin boleh memberikan perlindungan berganda, bukan sahaja menahan daripada jangkitan virus, tetapi juga melindungi otak melalui bahan kimia tambahan yang dikenali sebagai “adjuvan”.
Analisis terhadap rekod kesihatan 430,000 individu di Amerika Syarikat, yang diterbitkan pada hari Rabu, mendapati vaksin terhadap virus pernafasan RSV (respiratory syncytial virus) menggunakan Arexvy keluaran GlaxoSmithKline dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 29 peratus dalam diagnosis penyakit Alzheimer dan bentuk demensia lain dalam tempoh 18 bulan selepas vaksinasi.
Penemuan berkenaan menambah kepada bukti yang semakin meningkat tentang kaitan antara jangkitan virus dan demensia.
Namun, saintis Oxford paling teruja dengan dapatan mereka bahawa sebahagian besar daripada pengurangan demensia itu mungkin disebabkan oleh adjuvan AS01, iaitu campuran molekul berlemak yang ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan keberkesanannya dengan merangsang sistem imun penerima vaksin.
Pakar psikiatri dari Universiti Oxford, Profesor Paul Harrison berkata penemuan itu boleh membuka jalan kepada pendekatan baharu dalam pencegahan demensia.
“Kita memerlukan lebih banyak kajian untuk mengesahkan sama ada adjuvan ini benar-benar menyumbang kepada pengurangan risiko demensia, dan untuk memahami bagaimana ia berfungsi,” katanya kepada News Medical.
Bagi mengekalkan ketelusan dan kebebasan kajian, para penyelidik mengecualikan sebarang penglibatan GSK dalam analisis data.
Kajian-kajian terdahulu menunjukkan bahawa Shingrix – vaksin terkini keluaran GSK bagi melawan shingles (kayap) yang disebabkan oleh virus Herpes zoster, mampu mengurangkan risiko demensia sebanyak 27 peratus.
Shingrix mengandungi adjuvan AS01 yang sama, berbeza dengan vaksin sebelumnya iaitu Zostavax, yang hanya menunjukkan pengurangan risiko yang lebih kecil.
Shingrix dan Arexvy memberikan kesan pengurangan demensia yang hampir sama, walaupun kedua-duanya menyasarkan virus yang sangat berbeza, sekali gus menyokong hujah pasukan Oxford bahawa adjuvan memainkan peranan penting.
Para saintis juga belum pasti bagaimana AS01 dapat mengurangkan risiko demensia, namun kesannya berkemungkinan melibatkan sistem imun dalam otak, yang menurut kajian terkini, memainkan peranan penting dalam penyakit Alzheimer. – The Merdeka Times
