Antarabangsa
Tertekan suami, mentua tuntut mas kahwin, pengantin wanita maut minum racun

- Beberapa jam sebelum kejadian, Ridhanya sempat menghantar tujuh mesej suara melalui WhatsApp kepada bapanya, meluahkan penderitaan yang dialami.
- “Saya tidak tahan lagi dengan gangguan ini. Dia pukul saya, hina saya setiap hari. Saya minta maaf, Appa. Saya tidak mahu menjadi beban.
- “Appa dan amma adalah dunia saya. Sehingga nafas terakhir, appalah harapan saya, tetapi saya telah melukakan hati appa dengan teruk. Saya tahu appa tak sanggup lihat saya begini.
- “Maafkan saya, appa. Semuanya sudah berakhir. Saya pergi dulu,” kata Ridhanya dalam salah satu mesej suara yang kini menjadi bukti utama siasatan polis.
TIRUPPUR – Seorang wanita yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dua bulan lalu telah meninggal dunia selepas dipercayai membunuh diri akibat tekanan dan gangguan berkaitan mas kahwin oleh suami dan keluarga mentuanya.
Mangsa, Ridhanya, berusia 27 tahun, dari Tamil Nadu, India, meminum racun serangga ketika dalam perjalanan ke sebuah kuil di Mondipalayam bersama suaminya, Kavin Kumar, dan ibu mentuanya.
Mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia, lapor India Today.
Menurut laporan polis, keluarga pengantin lelaki telah menuntut mas kahwin berupa lebih kurang 800 gram emas dan sebuah kereta Volvo bernilai 7 juta rupee (lebih kurang RM396,000).
Keluarga Ridhanya dilaporkan telah menyerahkan sebahagian tuntutan tersebut, namun tetap menerima tekanan hebat daripada keluarga suami kerana dianggap masih belum mencukupi.
Mangsa juga dikatakan telah mengalami penderaan fizikal dan emosi secara berterusan selepas perkahwinan.
Beberapa jam sebelum kejadian, Ridhanya sempat menghantar tujuh mesej suara melalui WhatsApp kepada bapanya, meluahkan penderitaan yang dialami.
“Saya tidak tahan lagi dengan gangguan ini. Dia pukul saya, hina saya setiap hari. Saya minta maaf, Appa. Saya tidak mahu menjadi beban.
“Appa dan amma adalah dunia saya. Sehingga nafas terakhir, appalah harapan saya, tetapi saya telah melukakan hati appa dengan teruk. Appa tak mampu luahkan secara terbuka, tapi saya tahu appa tak sanggup lihat saya begini. Saya faham penderitaan appa.
“Maafkan saya, appa. Semuanya sudah berakhir. Saya pergi,” kata Ridhanya dalam salah satu mesej suara yang kini menjadi bukti utama siasatan polis.
Berikutan laporan yang dibuat keluarga mangsa, pihak polis menahan suami Ridhanya, Kavin Kumar, serta ibu bapanya, Eswaramoorthy dan Chithradevi, pada hari yang sama.
Mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Mas Kahwin dan Seksyen Hasutan kepada Bunuh Diri.
Menurut pihak polis, ini bukan insiden terpencil dan siasatan akan diteruskan bagi memastikan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.
Bapa Ridhanya, Annadurai, berkata beliau pada mulanya menyangka pertengkaran biasa antara pasangan baru berkahwin, namun selepas mendengar mesej suara anaknya dan melihat keadaannya pulang ke rumah, beliau sedar bahawa anaknya sedang dianiaya.
“Kami beri apa yang kami mampu, tetapi mereka tidak pernah puas. Kami tidak sangka perkara ini akan berakhir dengan kematian anak kami,” katanya.
Kes ini sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap isu gangguan mas kahwin yang masih berleluasa di India, walaupun undang-undang telah diwujudkan untuk menanganinya.
Aktivis wanita dan organisasi hak asasi kini mendesak agar undang-undang dikuatkuasakan dengan lebih tegas serta pendidikan dan kesedaran masyarakat dipertingkatkan. – The Merdeka Times
