Connect with us

Terkini

Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan didakwa hapus hak petani, jejas puluhan ribu pesawah kecil

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob
  • Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob mendakwa ia akan memberi kesan buruk terhadap hak, tradisi dan kelangsungan hidup puluhan ribu pesawah kecil di seluruh negara.
  • Di bawah pindaan ini, hak pembiak baka korporat akan diperluas secara melampau, manakala hak petani untuk bebas mengguna, berkongsi dan menjual benih daripada hasil tuaian mereka sendiri akan dihapuskan.
  • Ia meningkatkan kebergantungan pesawah kepada syarikat-syarikat gergasi, dan menyebabkan kenaikan harga benih padi di pasaran.

KUALA LUMPUR — Cadangan kerajaan untuk meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang dijangka dibentangkan di Parlimen hujung Julai ini dibantah keras oleh Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata pindaan tersebut yang bertujuan membolehkan Malaysia menyertai Konvensyen Antarabangsa Bagi Melindungi Varieti Baru Tumbuhan 1991 (UPOV 91) didakwa akan memberi kesan buruk terhadap hak, tradisi dan kelangsungan hidup puluhan ribu pesawah kecil di seluruh negara, terutama dalam amalan penyimpanan, perkongsian, dan penjualan benih padi.

“Di bawah pindaan ini, hak pembiak baka korporat akan diperluas secara melampau, manakala hak petani untuk bebas mengguna, berkongsi dan menjual benih daripada hasil tuaian mereka sendiri akan dihapuskan.

“Amalan menyimpan benih untuk kegunaan musim berikutnya, berkongsi dengan jiran, atau menjualnya secara kecil-kecilan yang merupakan tulang belakang kepada kelestarian ekonomi dan sosial komuniti pesawah akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah pindaan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, ketika ini amalan tradisi itu masih subur diamalkan, misalnya, di negeri Jelapang Padi Kedah sahaja, dianggarkan hampir 30 peratus pesawah masih melakukan amalan menyimpan, mengguna semula dan berkongsi benih padi setiap musim.

Amalan warisan itu dilakukan atas beberapa sebab mustahak, antaranya menjimatkan kos di mana pesawah dapat mengurangkan kos input pertanian yang semakin melambung tinggi dengan tidak perlu membeli benih baharu daripada syarikat setiap kali musim penanaman bermula.

Ia juga dapat menjamin kualiti benih kerana pesawah memiliki pengetahuan dan kepakaran memilih benih terbaik daripada tuaian mereka, sekali gus memastikan hanya benih berkualiti tinggi dan sesuai dengan keadaan tanah digunakan semula.

“Penyertaan Malaysia ke dalam UPOV 91 akan memusnahkan ekosistem ekonomi dan sosial ini… Pesawah akan dipaksa untuk membeli benih berdaftar daripada syarikat pembiak baka pada setiap musim.

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan kebergantungan pesawah kepada syarikat-syarikat gergasi, tetapi ia juga secara langsung akan menyebabkan kenaikan harga benih padi di pasaran.

“Apabila pilihan pesawah dihadkan dan monopoli dibenarkan berleluasa, syarikat-syarikat ini bebas untuk meletakkan harga yang tinggi, sekali gus meningkatkan lagi kos sara hidup pesawah yang sudah sedia terhimpit,” tegasnya.

Justeru, beliau menggesa Ahli-ahli Parlimen yang prihatin akan nasib pesawah dan masa depan pertanian negara untuk menolak rang undang-undang itu sekiranya dibentangkan kelak agar amalan tradisi yang menopang hidup petani selama turun-temurun tidak dihalang dalam sekelip mata.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor berkata, cadangan pindaan terhadap akta berkenaan akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu. — The Merdeka Times

 

Author