Terkini
KKM usah gopoh bekalkan PrEP untuk remaja aktif homoseksual, perlu libatkan ibu bapa – WAFIQ

- PrEP adalah ubat pencegahan HIV yang diambil oleh individu yang belum dijangkiti HIV tetapi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan.
- Presiden WAFIQ, Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar menegaskan KKM tidak seharusnya ikut Barat yang mahu memansuhkan keperluan kebenaran ibu bapa dalam pemberian PrEP kepada anak mereka.
- Beliau menyedari bahawa akan adanya pendekatan ke arah membolehkan remaja dapatkan PrEP tanpa kebenaran ibu bapa jika mereka aktif melakukan homoseksualiti.
- “Anak-anak ini masih boleh dibentuk, bukan kita tergopoh-gapah memberi PrEP hanya untuk kelangsungan “homoseksualiti yang dikatakan selamat”,” tegasnya.
KUALA LUMPUR — Susulan laporan 222 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) direkodkan menghidap HIV pada 2024, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengekalkan pendekatan berteraskan moraliti serta melibatkan ibu bapa dalam pengurusan isu homoseksualiti dalam kalangan remaja di negara ini.
Gesaan itu disuarakan Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa Bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar yang menegaskan bahawa KKM tidak (seharusnya) mengikuti kaedah Barat yang ingin memansuhkan “consent” atau kebenaran ibu bapa dalam pemberian Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) kepada anak-anak mereka.
Menurutnya, beliau menyedari bahawa akan adanya pendekatan ke arah membolehkan remaja bawah umur mendapatkan PrEP tanpa kebenaran ibu bapa jika mereka aktif melakukan homoseksualiti, susulan kenyataan terbaharu Timbalan Menteri Kesihatan yang menyentuh berkenaan ketiadaan perundangan khusus berkaitan ujian kendiri dan rawatan HIV dalam kalangan remaja.

Foto: Gambar tangkap layar dimuat naik Prof Dr Rafidah Hanim di hantaran Facebook-nya.
“Semua remaja dan kanak-kanak di bawah 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibu bapa untuk sebarang pengurusan kesihatan (kecuali kecemasan).
“Ini adalah polisi yang baik kerana remaja tidak mengetahui mendalam akan sejarah kesihatan masing-masing.
“Urusan kesihatan harus melibatkan keluarga dan ibu bapa, apatah lagi jika ada unsur moraliti terlibat.
“Anak-anak ini masih boleh dibentuk, bukan kita tergopoh-gapah memberi PrEP hanya untuk kelangsungan “homoseksualiti yang dikatakan selamat”,” tegasnya dalam hantaran di Facebook hari ini sambil menyertakan gambar tangkap layar artikel bertajuk, “222 pelajar IPT positif HIV tahun lalu, majoriti berusia 18-19 tahun”.
Dalam masa sama, Prof Dr Rafidah Hanim turut mempersoalkan sama ada memberi PrEP kepada remaja bawah umur tanpa kebenaran ibu bapa bertepatan dengan Maqasid Syariah.
Beliau berpandangan adalah lebih baik jika tingkah laku homoseksualiti itu dibincangkan secara bersama antara ibu bapa, remaja dan doktor sama seperti penyakit-penyakit lain.
“Setakat ini belum ada poster pencegahan seperti ‘Katakan Tidak Kepada Homoseksualiti’ dan ‘Homoseksualiti Adalah Berisiko Untuk HIV’ di laman web KKM.
“Bahkan dalam ucapan Timbalan Menteri dalam artikel ini, tiada penerapan abstinen langsung, terus melompat kepada PrEP (satu pendekatan kapitalisma).
“KKM tidak perlu mengambil pendekatan Barat kononnya atas nama “harm reduction” untuk memberi PrEP sewenang-wenangnya,” tegasnya.
Prof Dr Rafidah Hanim yang sememangnya lantang dalam mengulas isu homoseksualiti dan PREP, meminta agar KKM berganding bahu dengan Mufti untuk menjalankan kempen menyeluruh kepada remaja dan pelajar IPT dengan slogan dan poster seperti di atas. — The Merdeka Times

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Prof Dr Rafidah Hanim.
