Connect with us

Terkini

Ibu bapa Cina lihat kerjaya tentera keras, bahaya dan kurang stabil – Pemuda MCA

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong
  • Ibu bapa Cina lebih cenderung anak-anak mereka sambung pelajaran ke universiti dan bekerja di sektor swasta atau ambil alih perniagaan keluarga.
  • Dalam kalangan generasi muda pula, masih wujud tanggapan ATM didominasi satu kaum sahaja, menyebabkan mereka berasa ragu sama ada mereka boleh menyesuaikan diri.
  • Persepsi negatif itu boleh diubah dengan pendekatan yang betul, pendedahan lebih meluas, dan disertakan contoh teladan daripada mereka yang telah berjaya.

KUALA LUMPUR — Masih ramai ibu bapa dalam kalangan masyarakat Cina mempunyai persepsi bahawa kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan satu pekerjaan yang keras, berbahaya dan kurang stabil berbanding bidang profesional seperti kejuruteraan, perniagaan, atau perakaunan.

Itu pendedahan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, susulan seruan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar baru-baru ini yang mahu lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai ATM, memandangkan kadar penyertaan golongan itu masih rendah ketika ini.

Menurut Choo Seong, ibu bapa Cina lebih cenderung menggalakkan anak-anak mereka menyambung pelajaran ke universiti, sebelum bekerja di sektor swasta atau mengambil alih perniagaan keluarga.

“Persepsi masyarakat Cina khususnya dalam kalangan generasi muda dan ibu bapa terhadap kerjaya dalam ATM masih lagi bercampur-campur dan cenderung ke arah negatif.

“Dalam kalangan generasi muda pula, masih wujud tanggapan bahawa ATM didominasi oleh satu kaum sahaja, menyebabkan mereka berasa ragu sama ada mereka boleh menyesuaikan diri.

“Tambahan pula, ramai yang tidak menyedari peluang kenaikan pangkat, biasiswa pendidikan, dan manfaat lain yang disediakan kepada anggota tentera,” katanya kepada The Merdeka Times di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Choo Seong percaya persepsi negatif itu boleh diubah dengan pendekatan yang betul, pendedahan lebih meluas, dan disertakan contoh teladan daripada mereka yang telah berjaya.

Jelasnya, sudah ada contoh yang membuktikan persepsi itu boleh diubah apabila pada 2024, Leftenan Muda Chan Ming Youn dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja menjadi satu-satunya penuntut Cina yang berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Gerup Gerak Khas (GGK).

“Kisah kejayaannya menunjukkan bahawa dengan keberanian dan semangat patriotik, anak muda Cina juga boleh berjaya dalam bidang ketenteraan yang mencabar ini.

“Kisah seperti ini boleh dijadikan inspirasi kepada generasi muda Cina lain bahawa ATM bukan sahaja untuk satu kaum, tetapi untuk semua rakyat Malaysia yang sanggup berbakti,” katanya.

Untuk mengubah persepsi sedia ada, beliau mencadangkan beberapa langkah antaranya pihak ATM memperbanyakkan kempen dan perkongsian kisah kejayaan anak muda bukan bumiputera dalam tentera, menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UTAR, serta mengadakan program jelajah sekolah dan universiti yang lebih inklusif. — The Merdeka Times

 

Author