Connect with us

Terkini

95 lagi maut: Israel kunci mulut mengenai gencatan senjata, terus bom Gaza

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam.
  • Ironinya, semua ini berlaku tatkala pegawai Israel termasuk Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer, dijangka ke Washington untuk berbincang mengenai cadangan gencatan senjata baharu bersama pentadbiran Presiden AS, Donald Trump. 
  • Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan, berkata bahawa tiada sebarang maklum balas dari Israel mengenai gencatan senjata selama empat minggu. 
  • “Kami tetap komited untuk mencapai gencatan senjata demi menyelamatkan rakyat kami, dan kami sedang bekerjasama dengan pengantara untuk membuka semula laluan bantuan,” katanya.

GAZA— Di sebalik usaha berterusan Hamas untuk menjayakan rundingan gencatan senjata dengan bantuan negara-negara pengantara seperti Qatar dan Mesir, rejim Israel terus memperlihatkan kekejaman melampau dengan menggempur kawasan awam di Gaza.

Ia termasuk kafe, sekolah, hospital dan pusat agihan bantuan, mengorbankan sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam.

Ironinya, semua ini berlaku tatkala pegawai Israel termasuk Menteri Hal Ehwal Strategik, Ron Dermer, dijangka ke Washington untuk berbincang mengenai cadangan gencatan senjata baharu bersama pentadbiran Presiden AS, Donald Trump. 

Antara korban terburuk berlaku apabila 39 orang maut dalam serangan udara Israel ke atas kafe tepi pantai Al-Baqa di Gaza City. Mangsa termasuk wanita, kanak-kanak dan wartawan Palestin, Ismail Abu Hatab, yang hadir di kafe tersebut bagi meraikan majlis hari jadi. 

Serangan berlaku tanpa sebarang amaran.

“Kami temui tubuh manusia hancur berkecai. Tempat ini tiada kaitan dengan mana-mana pihak politik atau kumpulan tentera. Ia dipenuhi orang awam, termasuk kanak-kanak,” kata saksi, Yahya Sharif. 

Rejim Zionis juga menggempur gudang agihan makanan di kawasan Zeitoun, Gaza City, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 penduduk maut ketika sedang mengambil bantuan makanan. 

Di kawasan yang sama, Sekolah Yafa yang menempatkan ratusan pelarian turut menjadi sasaran, hanya selepas mereka diberi amaran lima minit untuk mengosongkan kawasan.

Di tengah Gaza, kawasan perkarangan Hospital Al-Aqsa di Deir el-Balah yang menjadi tempat perlindungan ribuan keluarga turut dibedil. Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum, melaporkan bahawa ini bukan kali pertama hospital itu menjadi sasaran — sekurang-kurangnya 10 kali Israel menyerang hospital ini secara langsung.

Kementerian Media Gaza mengecam tindakan itu sebagai jenayah sistematik terhadap sistem kesihatan Palestin. 

“Pesawat perang Israel mengebom khemah pelarian dalam kawasan Hospital Syuhada’ Al-Aqsa, mencederakan ramai dan merosakkan fasiliti penting,” menurut kenyataan rasmi.

Di selatan Gaza, sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin terbunuh ketika sedang menunggu makanan di pusat agihan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Israel dan Amerika Syarikat. 

Serangan ini menjadikan hampir 600 penduduk Palestin terbunuh di lokasi agihan bantuan sejak GHF mengambil alih pada akhir Mei lalu di tengah sekatan penuh oleh Israel.

Akhbar Haaretz Israel turut melaporkan bahawa tentera Israel diberi arahan untuk menembak secara sengaja ke arah orang awam di pusat bantuan, termasuk yang tidak membawa sebarang ancaman.

Dalam masa yang sama, Israel turut memusnahkan rumah-rumah di Khan Younis, memaksa pemindahan baru dan mengancam serangan darat. Ancaman pemindahan paksa semakin meluas, dengan lebih 80% wilayah Gaza kini berada dalam kawalan ketenteraan Israel atau berada dalam zon pengusiran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel juga menyerang empat lagi sekolah dan mengarahkan keluarga pelarian keluar sebelum melakukan pengeboman, menyebabkan lebih ramai terkorban.

Sementara itu, pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan, berkata bahawa tiada sebarang maklum balas dari Israel mengenai gencatan senjata selama empat minggu. 

“Kami tetap komited untuk mencapai gencatan senjata demi menyelamatkan rakyat kami, dan kami sedang bekerjasama dengan pengantara untuk membuka semula laluan bantuan,” katanya.

Namun, walaupun Hamas terus berusaha, tindakan tidak berperikemanusiaan Israel berlanjutan,  menunjukkan keengganan rejim Zionis menghentikan pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersenjata dan tidak bersalah. – The Merdeka Times

Author