Connect with us

Terkini

Wee Ka Siong dakwa peluang pelajar cemerlang B40 dinafikan menerusi proses pengambilan MBBS UM

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
  • Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan ketelusan proses pengambilan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) UM melalui saluran SATU (Saluran Terbuka), yang didakwanya menafikan peluang kepada pelajar cemerlang dari golongan kurang berkemampuan.
  • Antara kes dibangkitkan ialah seorang pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat melalui saluran UPU dan gagal dalam rayuan, tetapi kemudiannya diterima masuk ke program MBBS melalui SATU selepas sanggup membayar yuran RM300,000.
  • “Adakah ini bermakna, duit menjadi tiket kemasukan ke universiti, bukan lagi kecemerlangan akademik?” soal beliau.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan ketelusan proses pengambilan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) Universiti Malaya (UM) melalui saluran SATU (Saluran Terbuka), yang didakwanya menafikan peluang kepada pelajar cemerlang dari golongan kurang berkemampuan.

Dalam kenyataan media bertarikh 28 Jun 2025, beliau mengkritik kenyataan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, yang sebelum ini menafikan dakwaan MCA sebagai ‘mengelirukan’.

Menurutnya, penjelasan Noor Azuan bukan sahaja gagal menjawab isu sebenar, malah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Antara kes dibangkitkan ialah seorang pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat melalui saluran UPU (Unit Pusat Universiti) dan tidak berjaya dalam rayuan, tetapi kemudiannya diterima masuk ke program MBBS melalui SATU selepas sanggup membayar yuran berjumlah RM300,000.

“Adakah ini bermakna, duit menjadi tiket kemasukan ke universiti, bukan lagi kecemerlangan akademik?” soal beliau.

Wee menyifatkan kos tinggi itu sebagai ‘angka astronomi’ bagi keluarga B40 dan M40, sekali gus menyekat akses pendidikan kepada pelajar yang benar-benar layak tetapi tidak mampu.

Tambah beliau, tiada data rasmi diberikan oleh pihak UM untuk membuktikan bahawa proses pengambilan melalui UPU dan SATU benar-benar berdasarkan merit. Justeru, beliau mencabar Naib Canselor untuk mendedahkan:

  1. Jumlah pelajar lepasan STPM yang diterima melalui saluran SATU dan UPU sejak tahun 2018;
  2. Sama ada syarat akademik bagi UPU dan SATU adalah setara;
  3. Berapa ramai pemohon yang ditolak oleh UPU tetapi kemudian diterima melalui SATU.

Wee turut membidas perbandingan yang dibuat Noor Azuan terhadap sistem UCAS (Universities and Colleges Admissions Service) di UK dan universiti di Australia, dengan menegaskan bahawa sistem antarabangsa tersebut jauh lebih telus dan terbuka, termasuk dari segi bantuan kewangan kerajaan setempat dan data kemasukan.

Beliau menggesa pengambilan pelajar MBBS bagi sesi 2025/2026 melalui SATU ditangguhkan sementara kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyemak keseluruhan proses pengambilan pelajar ke universiti awam.

“Jika pintu masuk universiti hanya dibuka kepada mereka yang berduit, adakah kita sedang membina bakat, atau sedang mengusirnya keluar?” tegas beliau. — The Merdeka Times

Author