Connect with us

Antarabangsa

Suka guna telefon dalam tandas? Ini fakta menjijikkan yang anda perlu tahu

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Bakteria najis seperti coli dan Pseudomonas boleh melekat pada telefon dan menyebabkan jangkitan serius.
  • “Toilet plume” boleh merebak sejauh 1.5 meter walaupun penutup tandas ditutup.
  • Gunakan tisu alkohol atau sabun lembut dan elakkan letak telefon di lantai atau permukaan dalam tandas.

Amalan membawa telefon bimbit ke tandas mungkin kelihatan tidak berbahaya dan menghiburkan, namun pakar mikrobiologi memberi amaran bahawa tabiat ini boleh menyebabkan peranti anda menjadi tempat pembiakan mikroorganisma berbahaya.

Profesor Mikrobiologi Klinikal dari Universiti Leicester, Dr Primrose Freestone, menegaskan bahawa bakteria najis seperti E. coli dan Pseudomonas boleh dengan mudah melekat pada telefon anda ketika berada di dalam bilik air  walaupun selepas mencuci tangan dengan sabun.

“Telefon pasti akan tercemar pada satu ketika. Jadi, membersihkan telefon secara berkala dengan tisu disinfektan adalah satu idea yang baik,” katanya kepada MailOnline.

Beliau sendiri mengelap telefonnya dua kali seminggu dengan tisu disinfektan.

Menurut beliau, apabila kita membuang air dan menekan butang pam tandas, satu “semburan halus” yang mengandungi titisan air dan najis akan terkeluar dan bertebaran di udara.

Kajian dari Universiti Colorado Boulder sebelum ini menunjukkan semburan ini mampu bergerak sejauh 1.5 meter dalam masa lapan saat, cukup untuk mencemarkan permukaan sekeliling seperti lantai, dinding dan buku berhampiran.

Lebih membimbangkan, kajian turut mendapati semburan ini tetap berlaku walaupun penutup tandas ditutup.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar tidak membawa telefon ke tandas, apatah lagi meletakkannya di lantai atau pada permukaan berhampiran seperti tangki pam atau tingkap.

“Lantai di sekitar tandas, jika tidak dinyahkuman dengan kerap, akan mempunyai kesan najis dan bakteria usus yang boleh hidup selama berjam-jam atau berhari-hari,” jelasnya.

Antara bakteria lain yang boleh ditemui di tandas termasuk Enterococcus, Proteus, Staphylococcus, Streptococcus, serta pelbagai yis dan kulat lain yang boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit teruk, jangkitan paru-paru, darah dan kulit.

Telefon bimbit kini dianggap sebagai objek yang kerap disentuh, sama seperti tombol pintu dan suis lampu. Oleh itu, pakar menyarankan agar tangan dibasuh lebih kerap sebelum dan selepas menyentuh telefon, selain memastikan peranti itu sentiasa disanitasi.

Dr Freestone turut menasihati agar orang ramai menggunakan tisu alkohol 70 peratus atau campuran sabun dan air yang lembut untuk membersihkan telefon.

Beliau turut memberi Cadangan jika benar-benar perlu membawa telefon ke tandas, simpanlah ia di dalam poket sepanjang masa bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.

Namun pilihan paling selamat: jangan bawa langsung. -The Merdeka Times

 

Author