Terkini
Rafizi gesa kerajaan pertimbang sambung kontrak Ketua Hakim Negara

- Menurut Rafizi, empat daripada tujuh hakim yang bakal bersara telah pun menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan sebelum ini.
- Beliau berpandangan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan juga wajar diberi pertimbangan sama.
- Rafizi menegaskan bahawa cadangan ini bukan bermotif politik, sebaliknya mengambil kira keperluan semasa serta kesan langsung terhadap perjalanan kes-kes di mahkamah jika kekosongan ini tidak ditangani dengan segera.
- Rafizi turut membangkitkan isu “double standard” dalam pemberian lanjutan kontrak kepada pegawai kanan kerajaan lain.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa kerajaan agar mempertimbangkan lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, YAA Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang dijadualkan bersara wajib pada 1 Julai 2025.
Gesaan tersebut dibuat berikutan kebimbangan terhadap kekosongan besar dalam institusi kehakiman apabila tujuh hakim kanan termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, YAA Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, serta lima lagi hakim Mahkamah Persekutuan turut akan bersara dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Lebih separuh barisan hakim Mahkamah Persekutuan akan bersara. Ini pasti memberi kesan kepada perjalanan pentadbiran undang-undang di negara ini,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, empat daripada tujuh hakim yang bakal bersara telah pun menerima lanjutan perkhidmatan selama enam bulan sebelum ini. Oleh itu, beliau berpandangan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan juga wajar diberi pertimbangan sama.
Beliau menegaskan bahawa cadangan ini bukan bermotif politik, sebaliknya mengambil kira keperluan semasa serta kesan langsung terhadap perjalanan kes-kes di mahkamah jika kekosongan ini tidak ditangani dengan segera.
Rafizi turut membangkitkan isu “double standard” dalam pemberian lanjutan kontrak kepada pegawai kanan kerajaan lain.
“Apabila perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilanjutkan tiga kali berturut-turut dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan tidak dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, sudah tentu pelbagai desas-desus akan menjadi lebih kuat,” ujarnya.
Rafizi turut memberi peringatan agar kerajaan tidak mengetepikan kebimbangan dalam kalangan pengamal undang-undang, terutama berkaitan kemungkinan pelantikan terus ke Mahkamah Persekutuan tanpa mengikut kekananan sedia ada, yang boleh menimbulkan krisis kepercayaan awam terhadap kebebasan institusi kehakiman.
“KEADILAN dan Pakatan Harapan telah lama berkempen untuk mempertahankan kebebasan institusi kehakiman.
“Adalah sangat malang sekiranya satu hari nanti, KEADILAN dan Pakatan Harapan dituduh melemahkan kebebasan institusi kehakiman, lalu mewujudkan satu kumpulan anak muda baru yang bertekad melawan KEADILAN dan Pakatan Harapan,” jelasnya. -The Merdeka Times
