Antarabangsa
Khamenei dakwa Trump hanya berlagak menang, Serangan AS tiada impak besar

- “Presiden Amerika membesar-besarkan kejadian dengan cara yang luar biasa, dan ternyata dia memerlukan tindakan sedemikian. Setiap orang yang mendengar kenyataan itu tahu bahawa ada kebenaran lain yang disembunyikan di sebaliknya. Mereka sebenarnya tidak mampu melakukan apa-apa dan memilih untuk melebih-lebihkan bagi menutup kebenaran.” – Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran
- Terdahulu, Trump dalam satu temu bual bersama Fox News mendakwa AS berjaya memusnahkan nuklear Iran.
TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, membesar-besarkan kejayaan serangan ketenteraan Amerika terhadap tapak nuklear Iran, sambil menyatakan bahawa serangan itu tidak membawa hasil yang signifikan.
Khamenei berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi X miliknya pada Ahad.
“Presiden Amerika membesar-besarkan kejadian dengan cara yang luar biasa, dan ternyata dia memerlukan tindakan sedemikian.
“Setiap orang yang mendengar kenyataan itu tahu bahawa ada kebenaran lain yang disembunyikan di sebaliknya. Mereka sebenarnya tidak mampu melakukan apa-apa dan memilih untuk melebih-lebihkan bagi menutup kebenaran,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Trump dalam satu temu bual bersama Fox News mendakwa AS berjaya memusnahkan nuklear Iran.
“Kami masuk. Kami musnahkan keupayaan nuklear mereka, dan kemudian kami berhenti. Ia adalah sesuatu yang indah. Dan mereka tidak boleh teruskan lagi… Ia adalah 12 hari yang sangat tegang, sangat, sangat tegang,” jelas Trump dengan penuh kebanggaan.
Ketegangan antara Iran dan Israel meletus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan, nuklear dan awam Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 606 orang dan mencederakan lebih 5,300 yang lain.
Amerika Syarikat kemudiannya turut melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Fordo, Natanz dan Isfahan, sekaligus meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas wilayah Israel, mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 kematian dan lebih 3,400 cedera, menurut data yang dikeluarkan oleh Universiti Ibrani Jerusalem.
Konflik itu akhirnya dihentikan susulan gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dan berkuat kuasa mulai 24 Jun. -The Merdeka Times
