Connect with us

Antarabangsa

Israel dakwa bunuh pemimpin tentera Hamas dalam serangan udara di Gaza

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan) & Hakham Muhammad Issa Al-Issa (kiri).
  • Individu yang terbunuh dikenal pasti sebagai Hakham Muhammad Issa Al-Issa, yang didakwa terlibat secara langsung dalam pembangunan kekuatan tentera Hamas.
  • Tentera zionis mendakwa Issa memainkan peranan penting dalam strategi ketenteraan Hamas di Semenanjung Gaza.

 

GAZA – Tentera Israel mendakwa telah membunuh salah seorang pengasas sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam, dalam satu serangan udara di Bandar Gaza pada Sabtu.

Menurut kenyataan tentera rejim itu, individu yang terbunuh dikenal pasti sebagai Hakham Muhammad Issa Al-Issa, yang didakwa terlibat secara langsung dalam pembangunan kekuatan tentera Hamas.

Serangan tersebut dilaporkan berlaku di kawasan kejiranan al-Sabra.

Tentera zionis turut menyatakan bahawa Al-Issa merupakan Ketua Markas Latihan Briged Al-Qassam dan anggota Majlis Keselamatan Umum Hamas.

Beliau didakwa memainkan peranan penting dalam strategi ketenteraan Hamas di Semenanjung Gaza.

Serangan ini berlaku ketika Israel terus menolak gesaan gencatan senjata dari masyarakat antarabangsa, sebaliknya meneruskan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak Oktober 2023.

Sehingga kini, lebih 56,400 penduduk Palestin terbunuh  majoritinya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap penduduk di wilayah terkepung itu. -The Merdeka Times

Author