Connect with us

Terkini

Dua standard dalam pelantikan jawatan utama negara cetus kebimbangan – Ketua Penerangan PAS

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari (kiri), Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki (tengah) & Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kanan)

 

  • Ahmad Fadhli mempersoalkan keputusan kerajaan yang tidak menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, walaupun tokoh tersebut mendapat sokongan padu daripada komuniti perundangan, akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan orang awam.
  • Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai kontroversi dan bantahan dari pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan aktivis, telah dilanjutkan perkhidmatan sebanyak tiga kali.
  • “Jika ketegasan dan prinsip menjadi sebab ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian menjadi alasan untuk dilanjutkan, maka kita sedang menuju ke arah keruntuhan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara,” tegasnya.

 

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari melahirkan kebimbangan terhadap sikap tidak konsisten kerajaan Persekutuan dalam pelantikan dan penyambungan jawatan utama institusi negara, yang disifatkannya semakin memperlihatkan kewujudan dua standard yang jelas.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook, beliau mempersoalkan keputusan kerajaan yang tidak menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, walaupun tokoh tersebut mendapat sokongan padu daripada komuniti perundangan, akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan orang awam.

Menurutnya, ruang untuk penyambungan tersebut sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai kontroversi dan bantahan dari pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen dan aktivis, telah dilanjutkan perkhidmatan sebanyak tiga kali.

“Saya tidaklah mempersoalkan kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan. Namun, saya ingin tahu apakah standard yang digunakan dalam membuat pertimbangan? Apakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?” soalnya.

Tambah beliau, keputusan tidak menyambung perkhidmatan Tun Tengku Maimun mungkin menimbulkan tanggapan bahawa tindakan itu berkait dengan kenyataan dan pandangan Ketua Hakim Negara yang dilihat tidak selari dengan kehendak kerajaan.

Ahli Parlimen itu turut menjelaskan bahawa walaupun beliau tidak bersetuju dengan semua keputusan yang pernah dibuat oleh Tun Tengku Maimun, isu pokok yang diketengahkan ialah ketelusan dan konsistensi dalam menentukan kelayakan seseorang tokoh untuk meneruskan perkhidmatan.

“Jika ketegasan dan prinsip menjadi sebab ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian menjadi alasan untuk dilanjutkan, maka kita sedang menuju ke arah keruntuhan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara,” tegasnya.

Beliau menggesa kerajaan untuk tampil memberikan penjelasan secara terbuka dan telus kepada rakyat, bagi menjunjung prinsip keluhuran perlembagaan dan memastikan kewibawaan institusi terus terpelihara.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Fadhli Shaari.

Mengakhiri kenyataannya, beliau memberi peringatan kepada kerajaan bahawa jika budaya ini diteruskan, kemungkinan besar mandat rakyat tidak akan berpihak kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 nanti. — The Merdeka Times

Author