Terkini
“Saya yang pandu…” – Pemandu FRU rasa bersalah tragedi Teluk Intan ragut 9 nyawa

- Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, yang memandu kenderaan FRU ketika ia dirempuh sebuah lori, kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan telah sedar semalam.
- “Dia terus terdiam apabila diberitahu. Dia asyik ulang kata ini semua salah dia, sebab dia yang memandu,” kata isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam.
- Nor Ain berkata, suaminya yang masih trauma telah beberapa kali memohon maaf kepada dua rakan setugas yang terselamat, iaitu Koperal Nizam Tarmizi dan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, dan menyatakan penyesalannya.
IPOH — Pemandu lori Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan tragis di Teluk Intan, Perak yang meragut nyawa sembilan rakan setugasnya dilaporkan dihantui rasa bersalah dan berulang kali menyalahkan dirinya atas insiden tersebut.
Koperal Mohd Harrisul Ikhsan Mohd Mahabudin, 39, yang memandu kenderaan FRU ketika ia dirempuh sebuah lori, kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan telah sedar semalam.
Menurut laporan Kosmo!, berita mengenai kematian rakan-rakannya amat mengejutkan beliau.
“Dia terus terdiam apabila diberitahu. Dia asyik ulang kata ini semua salah dia, sebab dia yang memandu,” kata isterinya, Nor Ain Ahmad Hesam kepada akhbar berkenaan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 8.54 pagi pada 13 Mei di Jalan Sungai Manik–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Kenderaan FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5, Sungai Senam, Ipoh itu telah dirempuh oleh sebuah lori yang sarat dengan muatan batu.
Laporan awal mendapati lori tersebut mengalami kerosakan pada sistem stereng sebelum terbabas dan melanggar kenderaan FRU.
Nor Ain berkata, suaminya yang masih trauma telah beberapa kali memohon maaf kepada dua rakan setugas yang terselamat, iaitu Koperal Nizam Tarmizi dan Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli, dan menyatakan penyesalannya.
“Dia rasa bertanggungjawab, tapi saya dah pesan supaya dia jangan tanggung beban itu seorang diri,” katanya.
Walaupun dalam keadaan sedih, Nor Ain menjelaskan bahawa ramai rakan setugas suaminya telah menghubungi dan memberikan kata-kata sokongan agar Harrisul tidak menyalahkan dirinya.
“Mereka sangat menyokong. Ramai yang beritahu dia supaya jangan salahkan diri sendiri,” katanya lagi.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. -The Merdeka Times
