Antarabangsa
“Tiada gunanya rundingan gencatan senjata” – Hamas

- Jurucakap Hamas, Bassem Naim mengeluarkan kenyataan itu selepas Israel meluluskan serangan ketenteraan yang diperluaskan dan mungkin termasuk rampasan keseluruhan wilayah Palestin untuk tempoh yang tidak ditentukan.
- Bassem memberitahu BBC bahawa pihaknya tidak akan mempertimbangkan cadangan baharu selagi Israel meneruskan “perang kebuluran” mereka, yang merujuk kepada sekatan bekalan makanan ke Gaza.
GAZA – “Tiada gunanya meneruskan rundingan mengenai gencatan senjata baharu di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan.”
Jurucakap Hamas, Bassem Naim mengeluarkan kenyataan itu selepas Israel meluluskan serangan ketenteraan yang diperluaskan dan mungkin termasuk rampasan keseluruhan wilayah Palestin untuk tempoh yang tidak ditentukan.
Bassem memberitahu BBC bahawa pihaknya tidak akan mempertimbangkan cadangan baharu selagi Israel meneruskan “perang kebuluran” mereka, yang merujuk kepada sekatan bekalan makanan ke Gaza.
Tentera Israel menyatakan objektif operasi berskala besar itu adalah untuk membawa pulang tebusan yang ditahan Hamas.
Bagaimanapun, mereka mempunyai agenda lebih besar yang melibatkan penaklukan Gaza, pemindahan majoriti penduduknya, serta pengambilalihan kawalan bantuan selepas dua bulan sekatan yang menurut PBB telah menyebabkan kekurangan makanan yang teruk.
Mereka juga menyatakan bahawa serangan itu tidak akan dimulakan sehingga selesai lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke rantau tersebut minggu depan yang memberikan Hamas apa yang mereka sebut sebagai peluang untuk bersetuju dengan perjanjian.
Namun, kenyataan terbaru Hamas ini dilihat bertentangan dengan hal itu. – The Merdeka Times
