Terkini
Gegaran akibat gempa bumi di Indonesia turut dirasai penduduk Pulau Pinang

- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung gegaran, dipercayai susulan gempa bumi yang berlaku di negara jiran itu.
- “Setakat ini pihak bomba terima dua panggilan telefon daripada orang awam di kawasan perumahan di Blok 1, Taman Selatan di Jelutong dan sebuah hotel di George Town pada 5.15 petang ini (semalam) yang memaklumkan berlaku gegaran di kawasan perumahan mereka.
- “Pihak bomba telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut dan komander operasi melaporkan pemantauan di lokasi dalam keadaan selamat, serta tiada berlaku kerosakan struktur di bangunan terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
GEORGE TOWN — Gegaran akibat gempa bumi sederhana yang melanda Utara Sumatera, Indonesia semalam turut dirasai penduduk yang tinggal di Pulau Pinang, terutama di kawasan berhampiran laut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung gegaran, dipercayai susulan gempa bumi yang berlaku di negara jiran itu.
“Setakat ini pihak bomba terima dua panggilan telefon daripada orang awam di kawasan perumahan di Blok 1, Taman Selatan di Jelutong dan sebuah hotel di George Town pada 5.15 petang ini (semalam) yang memaklumkan berlaku gegaran di kawasan perumahan mereka.
“Pihak bomba telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut dan komander operasi melaporkan pemantauan di lokasi dalam keadaan selamat, serta tiada berlaku kerosakan struktur di bangunan terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Beliau berkata pihak bomba juga turut membuat pemantauan dari semasa ke semasa, bagi memastikan tiada premis atau bangunan yang terjejas akibat gegaran disebabkan gempa bumi tersebut.
Sementara itu, penduduk Apartment Desa Baiduri di Farlim, di sini Fatin Syafiqah Ahmad Rozi, 32, berkata beliau dan keluarganya yang tinggal di tingkat 10, turut merasai gegaran beberapa minit itu namun menyangka beliau pening kepala.
Bagaimanapun, beliau berkata gegaran itu turut dirasai ahli keluarga yang lain sebelum jirannya yang turut merasai kejadian sama itu datang ke rumahnya, untuk bertanyakan sekiranya berlaku gegaran atau terdapat projek pembinaan di kawasan perumahan mereka.
“Gegaran itu rasa dua kali tapi beberapa minit sahaja, kami tak tahu lagi kata ada gempa bumi di Indonesia dan jiran dah ajak turun sebab takut apa-apa jadi, masa tu nampak beberapa jiran lain keluar rumah,” katanya.
Seorang penduduk di sebuah apartmen di Jelutong Nur Hafizah Mustafa, 42, berkata gegaran itu agak kuat sehingga boleh nampak beberapa barangan dalam rumah bergerak dan beliau terus masuk ke bilik untuk melihat anak lelakinya berusia tujuh tahun sedang tidur.
“Kemudian saya keluar rumah dan nampak beberapa jiran saling bertanya apa yang berlaku sehingga berlaku gegaran tersebut, waktu itu masing-masing bimbang sesuatu terjadi sebelum tahu yang terdapat gempa bumi di Indonesia,” katanya yang tinggal di tingkat 15 apartmen itu.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan satu gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Utara Sumatera, Indonesia pada 4.57 petang semalam.
Gegaran turut dirasai di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami kepada negara.– BERNAMA
