Connect with us

Terkini

Faisal Halim kecewa kes simbah asid diklasifikasikan ‘tiada tindakan lanjut’ – Peguam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim
  • Kenyataan yang dikeluarkan pasukan guamannya. Messrs Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co pada Khamis mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) secara rasmi telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
  • Keputusan itu dilaporkan dibuat selepas siasatan polis gagal mengenal pasti sebarang suspek walaupun pelbagai usaha menyeluruh telah dijalankan.
  • “Anak guam kami teramat kecewa dengan keputusan ini.” -Peguam.

PETALING JAYA — Pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, meluahkan rasa kecewa yang teramat dalam ekoran penutupan siasatan terhadap kes serangan asid yang menyebabkan kecederaan parah ke atas dirinya pada 5 Mei tahun lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan pasukan guamannya. Messrs Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co pada Khamis mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) secara rasmi telah mengklasifikasikan kes tersebut sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Keputusan itu dilaporkan dibuat selepas siasatan polis gagal mengenal pasti sebarang suspek walaupun pelbagai usaha menyeluruh telah dijalankan.

“Anak guam kami teramat kecewa dengan keputusan ini.

“Sepanjang proses siasatan, kami telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kes ini mendapat perhatian sewajarnya.

“Kami telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia serta menghantar surat rasmi kepada beberapa institusi utama, termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri, dan AGC, bagi mendesak agar kes ini diberikan keutamaan,” kata pasukan guaman tersebut.

Faisal, 26, yang merupakan tonggak utama skuad bola sepak kebangsaan Malaysia dan juga pasukan Selangor, mengalami kecederaan serius selepas diserang dengan simbahan asid oleh individu tidak dikenali di luar sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh negara, dengan gesaan agar keadilan segera ditegakkan dan keselamatan untuk individu terkenal dipertingkatkan.

“Tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan perbincangan aktif bersama anak guam kami,” tambah peguam berkenaan, memberi bayangan kemungkinan tindakan undang-undang atau advokasi awam sebagai tindak balas terhadap keputusan NFA tersebut. -The Merdeka Times

Author