Antarabangsa
(VIDEO) Mahmoud Abbas gelar Hamas “anak anjing”, tuntut bebas semua tebusan Israel

RAMALLAH – Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas menggelar Hamas sebagai “anak-anak anjing” dalam ucapannya di mana beliau menuntut kumpulan itu membebaskan semua tebusan yang masih ditahan, melucutkan senjata, dan menyerahkan kawalan Gaza bagi menamatkan peperangan dengan Israel.
Dalam Mesyuarat Majlis Pusat Palestin di Ramallah, Tebing Barat yang dijajah Israel, Mahmoud berkata Hamas memberikan “alasan” kepada Israel untuk meneruskan serangan ke atas Gaza, dan beliau menggesa Hamas untuk membebaskan tebusan Israel dan tamatkan semuanya.
“Hamas telah memberikan penjenayah (Israel) alasan untuk melakukan jenayahnya di Semenanjung Gaza, dan yang paling ketara ialah penahanan tebusan.
“Anak-anak anjing, lepaskan saja siapa yang kamu tahan dan habiskan saja. Tutup semua alasan mereka dan selamatkan kami,” katanya yang dilaporkan BBC News.
Presiden itu turut berkata bahawa Hamas mesti menyerahkan tanggungjawab terhadap Gaza dan senjatanya kepada PA, serta berubah menjadi sebuah parti politik.
Seorang ahli biro politik Hamas, Bassem Naim, mengecam kenyataan Abbas yang dianggapnya sebagai “bahasa menghina” terhadap “sebahagian besar rakyatnya sendiri”.
“Mahmoud secara berulang kali bertindak mencurigakan, menyalahkan rakyat Palestin atas jenayah penjajahan dan pencerobohan yang berterusan,” katanya.
Hamas dan PA telah berpecah belah sejak sekian lama, menyebabkan tiada kepimpinan Palestin yang bersatu dapat diwujudkan di Tebing Barat dan Gaza.
Mahmoud, 89 tahun, dianggap tidak relevan oleh ramai rakyat Palestin.
Beliau kekal berkuasa tanpa pilihan raya selama bertahun-tahun, mengetuai PA yang dilihat oleh pengkritiknya sebagai tidak berkesan, malah korup.
Malah, Hamas pada dasarnya mendakwa PA bersekongkol dengan Israel.
Minggu lalu, Hamas menolak cadangan gencatan senjata baharu dari Israel yang termasuk tuntutan supaya mereka melucutkan senjata dan pembebasan 10 daripada 59 tebusan yang masih ditahan.
Hamas menegaskan bahawa ia hanya akan menyerahkan semua tebusan sebagai pertukaran untuk penamatan perang dan pengunduran penuh Israel. Mereka juga menolak untuk menyerahkan senjata.
PA yangj diterajui Mahmoud dan didominasi oleh pergerakan Fatah pimpinannya, hanya mentadbir sebahagian daripada Tebing Barat sejak Hamas mengambil alih kawalan ke atas Gaza pada tahun 2007, setahun selepas memenangi pilihan raya perundangan.
Kepimpinan PA sering menegaskan bahawa mereka bersedia untuk mengambil alih pentadbiran Gaza selepas perang.
Namun, mereka dikritik oleh rakyat Palestin sendiri kerana tidak bersuara dengan tegas atau mengambil tindakan yang berkesan. – The Merdeka Times
