Connect with us

Terkini

‘Siapa kamu bersuara atas nama kami?’, Kecaman KMUM ke atas Kerajaan Pahang dibidas gerakan mahasiswa UM

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Logo Neo-Siswa Universiti Malaya (kiri) & Kabinet Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) (kanan)
  • Itu persoalan dibangkitkan Ketua Penerangan Neo-Siswa Universiti Malaya, Aiman Izzat Shamsuddin susulan Kabinet Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang disifatkan dengan angkuh telah mengeluar kenyataan mengecam Kerajaan Negeri Pahang berhubung isu penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Raub.
  • Aiman berkata kenyataan itu dikeluarkan KMUM tanpa sebarang rujukan kepada fakta mahkamah dan perbincangan terbuka serta paling keji menurut beliau adalah ia dilakukan tanpa mandat mahasiswa sendiri.
  • “Kenapa isu luar lebih penting daripada isu dalaman kampus? Di mana suara KMUM ketika mahasiswa dihimpit tekanan mental, fasiliti rosak, dan kos sara hidup menekan setiap hari?” – Aiman

KUALA LUMPUR — “Siapa kamu untuk bersuara atas nama kami?”

Itu persoalan dibangkitkan Ketua Penerangan Neo-Siswa Universiti Malaya, Aiman Izzat Shamsuddin susulan Kabinet Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang disifatkan dengan angkuh telah mengeluar kenyataan mengecam Kerajaan Negeri Pahang berhubung isu penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Raub.

Aiman berkata kenyataan itu dikeluarkan KMUM tanpa sebarang rujukan kepada fakta mahkamah dan perbincangan terbuka serta paling keji menurut beliau adalah ia dilakukan tanpa mandat mahasiswa sendiri.

“Apa hak kalian menyalahguna nama mahasiswa UM untuk membawa suara politik luar? Adakah suara mahasiswa hari ini telah dirampas oleh tangan-tangan ghaib berkepentingan?

“Kami tidak akan berdiam diri!,” katanya menerusi Surat Terbuka Kepada Gerakan Mahasiswa yang disiar di Facebook pada Isnin.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Neo-Siswa Universiti Malaya.

Dakwanya, KMUM telah mengkhianati prinsip asas gerakan mahasiswa iaitu autonomi, kebebasan akademik, dan prinsip kejujuran terhadap mandat mahasiswa.

Tegas Aiman, apa yang berlaku ketika ini adalah satu penghinaan terhadap ribuan mahasiswa yang mengundi pihak KMUM untuk memperjuangkan isu kampus dan bukan menjadi lidah parti politik.

“Adakah KMUM kini milik mahasiswa, atau milik DAP?

“Kenapa isu luar lebih penting daripada isu dalaman kampus? Di mana suara KMUM ketika mahasiswa dihimpit tekanan mental, fasiliti rosak, dan kos sara hidup menekan setiap hari?

“Neo Siswa UM bangkit hari ini untuk menyatakan dengan tegas – kami menolak politik partisan dalam platform rasmi mahasiswa!,” katanya yang turut menyatakan bahawa 13 April 2025 akan dikenang sebagai detik gelap dalam sejarah perjuangan mahasiswa Universiti Malaya susulan kenyataan KMUM itu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Universiti Malaya Student’s Union -KMUM.

Aiman berkata pihaknya menuntut penjelasan terbuka daripada KMUM kepada seluruh warga kampus tentang siapa yang mengarah kenyataan itu dikeluarkan; ketelusan dalam setiap keputusan rasmi selepas ini, dengan libat urus semua perwakilan mahasiswa serta komitmen total kepada agenda mahasiswa, bukan agenda mana-mana parti atau tokoh luar.

Dia juga mengingatkan supaya pihak berkenaan tidak menjadi boneka yang menjual suara mahasiswa untuk habuan populariti dan tidak menunggang kesatuan demi kepentingan politik.

Terdahulu, KMUM 2024/2025 dilapor antara persatuan pelajar universiti yang mengecam keras tindakan kerajaan Pahang berhubung operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub baru-baru ini.

Ia mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa yang berterusan oleh kerajaan negeri Pahang dan membuli pekebun-pekebun durian Raub.

Selain KMUM terdapat juga kecaman dinyatakan Naib Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze, Suara Siswa UM, Student Progressive Front Universiti Utara Malaysia (SPFUUM),  Gerakan Mahasiswa Maju UPM (Universiti Putra Malaysia) dan Suara Siswa UUM menerusi satu kenyataan bersama dalam bahasa Inggeris yang disiar di Facebook UMANY pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan, lapor BERNAMA.

Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.

Operasi disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.— The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *