Terkini
Polis siasat hantaran media sosial hina Agong

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu di Kota Samarahan, Sarawak, pagi Khamis.
- Katanya seorang individu telah tampil untuk membuat laporan penafian selepas menyedari terdapat akaun yang didaftarkan di atas namanya dan menggunakan gambarnya untuk membuat akaun Facebook.
KUALA LUMPUR — Polis menjalankan siasatan terhadap satu hantaran yang tular di media sosial semalam kerana disyaki mengandungi elemen menghina Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu di Kota Samarahan, Sarawak, pagi Khamis.
Beliau berkata semakan pihaknya mendapati terdapat dua akaun Facebook yang didaftarkan atas nama dan gambar pemilik akaun yang sama.
Katanya seorang individu telah tampil untuk membuat laporan penafian selepas menyedari terdapat akaun yang didaftarkan di atas namanya dan menggunakan gambarnya untuk membuat akaun Facebook.
“Beliau menafikan akaun tersebut miliknya dan membuat laporan polis kerana takut terjadi apa-apa di kemudian hari,” katanya ketika dihubungi.
Razarudin berkata siasatan akan diteruskan setelah pihaknya menerima laporan analisis risikan media sosial daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular di media sosial tangkap layar gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping dengan paparan kapsyen didakwa menghina Agong. — BERNAMA
